Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Seri Hasni Mohammad mengumumkan bahawa Projek pelebaran Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) daripada empat lorong kepada enam lorong di Johor akan bermula Jun ini. Menurutnya dalam laporan Harian Metro, projek pelebaran akan bermula dengan Fasa Satu yang membabitkan laluan dari Senai Utara ke Sedenak dengan jarak 21.8 kilometer (km) dan dijangka mengambil masa 36 bulan untuk disiapkan.
“Projek pelebaran Lebuhraya PLUS di Johor daripada empat kepada enam lorong akan dimulakan dari Senai Utara ke Sedenak, mulai Jun ini, bagi fasa pertama. Projek dengan jarak 21.8 km itu dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.”
Beliau turut menjelaskan tempoh masa yang diperlukan tersebut adalah kerana kerja pelebaran dari Senai Utara ke Sedenak berkenaan agak mencabar berikutan keadaan muka bumi yang berbukit dan curam. Manakala projek pelebaran Fasa Dua daripada Sedenak ke Machap pula akan bermula pada awal 2025. Buat masa sekarang Hasni memberitahu bahawa ia sedang dipertimbangkan untuk dilanjutkan sehingga ke kawasan Ayer Hitam dengan jarak 17.3 km.
Hasni yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam berharap, projek pelebaran Lebuhraya Plus di kawasan Johor itu diberi keutamaan dan berjalan lancar supaya tidak berlaku kelewatan daripada jadual. Beliau turut menambah (LLM) turut akan memberi keutamaan kepada pengurusan pelan trafik di kawasan pelebaran dilaksanakan berikutan jangkaan kesesakan berlaku.
“Pengurusan pelan trafik di kawasan pelebaran jalan sedang diperhalusi termasuk contohnya kenderaan berat yang menggunakan lebuhraya akan dijadualkan perjalanan mereka. Mungkin juga sebahagian kenderaan berat akan dialihkan menggunakan jalan Persekutuan, namun ia masih diteliti dan dibincangkan,” katanya.
Dalam Belanjawan 2024 yang dibentangkan pada Oktober tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan bahawa kerajaan telah bersetuju untuk melaksanakan projek pelebaran Lebuhraya PLUS daripada empat kepada enam lorong dilanjutkan dari Sedenak ke Simpang Renggam, Johor yang melibatkan kos peruntukan sebanyak RM931 juta.
Buat masa sekarang laluan enam hingga lapan lorong di Lebuhraya PLUS dari Kuala Lumpur ke selatan hanya berakhir di Melaka. Manakala laluan selepas itu hanya menampilkan laluan empat lorong (dua lorong sehala) sehingga ke Tol Skudai yang bukan sahaja menyebabkan kesesakan pada waktu puncak, musim cuti dan musim perayaan, malah ia juga telah menyebabkan banyak kemalangan maut berlaku.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.