Permohonan bagi program BikeCare-1000 iaitu bantuan kerajaan negeri Selangor bagi bayaran pendahuluan pembelian motosikal untuk pekerja masih dibuka sehingga 1 Mac 2024.
Borang bagi program khusus untuk warga Selangor itu boleh diperoleh di pejabat Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) di tingkat lima bangunan pentadbiran kerajaan negeri di Shah Alam, Selangor. Selain itu, borang tersebut juga boleh diperoleh secara dalam talian menerusi PAUTAN INI.
Bagi menyertai program ini, pemohon perlu mematuhi syarat ditetapkan iaitu berusia 18 tahun ke atas, memiliki lesen motosikal yang sah dan tidak disenarai hitam Pusat Sistem Maklumat Rujukan Kredit (CCRIS).
Semua permohonan perlu disertakan dengan salinan kad pengenalan pemohon, salinan kad pengenalan penjamin (keluarga), salinan penyata bank, salinan lesen motosikal dan salinan slip gaji terkini. Borang permohonan yang sudah lengkap perlu diserahkan ke pejabat UPPS di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri sebelum 1 Mac ini.
Program BikeCare-1000 adalah satu inisiatif Kerajaan Selangor sejak tahun 2022 bagi meringankan beban pekerja Gig atau P-hailing dalam bentuk pembayaran pendahuluan pembelian motosikal. Selain itu, ia adalah usaha kerajaan negeri bagi membantu rakyat yang memerlukan bantuan dan sokongan dalam menyediakan keperluan kehidupan yang kini sedang mencabar.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.