Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan sebanyak 63,414 saman pelbagai kesalahan trafik dalam 20 hari pelaksanaan operasi khas sempena perayaan Tahun Baharu Cina (CNY) baru-baru ini, laporan Bernama.
Daripada keseluruhan jumlah tersebut, 781 saman dikeluarkan untuk pemandu warga asing atas pelbagai kesalahan dan 781 kenderaan turut disita kerana ketiadaan dokumen yang sah, kata Pengarah kanan (Penguatkuasaan) JPJ Datuk Lokman Jamaan.
“Dalam operasi itu, kami memeriksa 2,500 kenderaan yang dipandu warga asing. Di Terengganu sahaja, kita merekodkan 281 kesalahan. Kebanyakan pesalah adalah dari Myanmar, Bangladesh dan Pakistan,” katanya.
Lokman turut memberi amaran kepada rakyat tempatan agar tidak menyewa atau menjual kenderaan kepada warga asing, kerana mereka yang didapati terlibat dalam aktiviti tersebut akan berdepan hukuman berat termasuk disenaraihitamkan. “Sejak kebelakangan ini isu kebanjiran warga asing menjadi isu besar, dan kami menerima banyak aduan daripada orang ramai,” katanya.
Tambahnya, JPJ terpaksa mengambil tindakan tegas dan kerap menjalankan operasi bersepadu dengan agensi lain untuk menegakkan undang-undang termasuk peraturan jalan raya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.