Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berjaya mencatatkan perolehan hasil mencecah RM5.07 bilion sepanjang tahun lalu, meningkat sebanyak 3.53% berbanding RM4.9 bilion pada 2022, laporan Bernama.
“Ingin saya kongsikan dan mengucapkan tahniah kepada JPJ kerana dalam sejarah, buat kali pertama, hasil diperoleh JPJ mencecah RM5 bilion. Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga JPJ dalam menjayakan peningkatan hasil ini,” katanya.
Katanya, kutipan hasil kategori bayaran tender nombor pendaftaran kenderaan turut meningkat daripada RM501.5 juta pada 2022 kepada RM569.6 juta tahun lalu.
“Peningkatan hasil itu termasuk siri bidaan nombor pendaftaran FF dan M_M, masing-masing pada Mei dan Ogos tahun lalu. Untuk siri GOLD yang dilancarkan sempena sambutan Jubli Emas Hari Wilayah Persekutuan ke-50 pada 1 Febuari lalu, JPJ merekodkan RM17.24 juta hasil kutipan.
“Ini termasuk GOLD 1 yang berjaya dibida oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dengan harga bidaan sebanyak RM1.5 juta,” katanya sambil menambah siri nombor pendaftaran GOLD menerima 23,160 bidaan dengan 6,810 berjaya.
Beliau turut memaklumkan bahawa 50% daripada hasil bidaan nombor pendaftaran istimewa akan disalurkan kepada inisiatif di bawah kementerian bagi 2024. Ini termasuk bantuan lesen memandu, bantuan topi keledar, subsidi FlySISWA dan caruman PERKESO (Pertubuhan Keselamatan Sosial) kepada pemandu teksi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.