Jika dulu Proton sering ‘diejek’ kerana sistem tingkap kuasa yang selalu rosak, sejak jenama automotif nasional itu menjalinkan kerjasama dengan Geely ia sering disindir dengan masalah bekalan alat ganti yang tidak cukup dan lambat. Namun bagi pemilik Proton S70 yang mungkin merupakan “S70 pertama kena sodok” beberapa minggu lalu, pengalamannya dengan khidmat servis selepas jualan Proton membuktikan sebaliknya.
Pengalaman berkenaan dikongsikan oleh pemilik menerusi hantaran yang dibuat di Proton S70 Malaysian Community (MYS70COM) Facebook Group. Menurutnya, dia terlibat dalam kemalangan pada 7 Februari lalu dan kereta itu siap diperbaiki dan diserahkan kepadanya semula pada 21 Februari.
Jadi segala proses pembaikan bahagian belakang sedan berkenaan yang remuk teruk khususnya pada bahagian bampar, kerangka di belakang bampar dan juga penutup but tersebut mengambil masa kira-kira dua minggu untuk disiapkan. Segala proses tersebut diuruskan oleh Pusat 4S Proton di Nilai, Negeri Sembilan iaitu Proton LHM One Stop Car Service Centre 4S.
Sejak Mac tahun lalu, Proton telah melancarkan program Proton Operational Excellence (POE) yang bukan sahaja untuk mengatasi masalah ketersediaan alat ganti, malah untuk memperbaiki keseluruhan operasi servis selepas jualannya. Menerusi program tersebut, Proton kini telah memperluaskan rangkaian dan lokasi gudang dan stok alat gantinya di seluruh negara.
Proton juga mengambil serius segala aduan yang diterima dari pelanggan menerusi program ini. Sekiranya ada aduan pelanggan yang diabaikan dan tidak diselesaikan, pengedar boleh dikenakan penalti sebanyak RM1,000, manakala penasihat servis yang terlibat pula boleh dikenakan penalti RM200.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.