Kami menerima satu lagi set gambar bagi unit prototaip ujian Proton X70 facelift yang dijangka bakal dilancarkan tidak lama lagi, dan kali ini beberapa perincian lagi dapat didedahkan. Gambar-gambar ini dikirimkan oleh seorang pembaca paultan.org yang tidak mahu dikenali, dan ia didakwa dirakam di Cheras.
Berbanding dari unit-unit ujian sebelum ini di mana kesemua rim masih disorokkan dengan pelekat penyamaran, unit prototaip yang dijumpai kali ini nampaknya telah mendedahkan rekaan tersebut. Seperti dijangka, X70 facelift ini menggunakan set rim yang sama digunakan pada kembarnya di China iaitu Geely Boyue facelift yang muncul pada 2022.
Namun apa yang menarik perhatian kami, individu yang menghantar set gambar ini menyatakan bahawa X70 facelift tersebut masih mengekalkan rekaan papan pemuka yang sama seperti model sedia ada. Jadi ia agak berbeza dengan Boyue facelift 2022 di mana papan pemuka berkenaan telah disegarkan, terutama di bahagian ‘lapisan’ tengah yang kini menampilkan skrin infotainmen berbentuk segi empat berbanding bentuk trapezoid pada model lama.
Bahagian lain, terutamanya sebelah luar masih nampak sama seperti unit ujian sebelum ini. Ia dilindungi dengan pelekat penyamaran yang membalut hampir keseluruhan pada bahagian hadapan, serta membaluti keseluruhan bampar dan sebahagian panel sisi belakang.
Menerusi bentuk lampu dan bayangan badan di sebalik pelekat tersebut, ia sudah pasti diberikan penyegaran rupa dengan mengenakan muka Geely Boyue facelift 2022. Perubahan tersebut termasuk lampu hadapan yang lebih nipis dan bersegi, fender hadapan berbeza bagi disesuaikan dengan lampu baharu, bonet hadapan yang lebih berotot dan juga bampar dengan kemasan liang udara yang nampak lebih lebar.
Sentuhan Proton yang diberikan pada model ini adalah gril bercorak pin krom seperti elemen rekaan pada SUV segmen-D Proton X90 dan S70 yang dilancarkan tahun lalu, bagi menggantikan gril dengan rekaan infinite weave pada X70 sedia ada. Manakala di belakang, ia masih menggunakan unit lampu kombinasi yang sama. Perubahan dijangka dibuat pada bahagian bampar yang ditutup pelekat penyamaran iaitu kemasan diffuser baharu.
Proton tidak mempunyai model serba baharu untuk dilancarkan tahun ini, namun ia dijangka akan memperkenalkan versi kemaskini dengan perubahan besar pada dua model berasaskan Geely sedia ada iaitu X70 dan X50 facelift bagi mengekalkan momentum jualannya.
Berdasarkan rupa unit ujian Proton X70 facelift ini yang kelihatan hampir lengkap sebagai model produksi sebenar, mungkin pelancarannya akan dibuat tak lama lagi?
GALERI: Spyshot Proton X70 facelift 2024
GALERI: Geely Boyue facelift 2022
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.