Di Jerman ada Volkswagen Golf, manakala di UK ada Ford Fiesta – ini adalah antara hatchback kompak ikonik yang sangat popular di Eropah pada era 70’an dan 80’an. Namun jangan lupa, di Perancis pula ada Renault 5 dengan status ikonik yang sama. Selepas model ini ‘berkubur’ pada pertengahan era 90’an, nampaknya Renault 5 berjaya ‘dihidupkan’ kembali pada masa kini dengan kuasa elektrik!
Ini dia model produksi sebenar Renault 5 EV yang telah pun membuat kemunculan sulungnya, selepas ia hadir dalam versi konsep sebelum ini yang dikenali sebagai Renault 5 Prototype. Secara rasmi model generasi baharu ini digelar sebagai Renault 5 E-Tech Electric, dan ia merupakan model pertama Renault yang diasaskan dari platform khas EV senibina kenderaan kecil yang digelar sebagai AmpR Small, atau sebelum ini dikenali sebagai CMF-B EV.
Jadi Renault 5 yang dibangkitkan semula ini hanya akan ditawarkan dalam versi elektrik penuh, tanpa pilihan sebarang penjana dengan enjin pembakaran dalaman atau hibrid. Renault menyifatkan gaya rekaan pada model generasi baharu ini sebagai ‘retrofuturistik’, dengan mengadunkan ciri-ciri moden berasaskan rupa Renault 5 asli yang mula diperkenalkan pada tahun 1972.
Antara perincian yang membuatkan hatchback EV ini menyerupai versi klasiknya adalah profil sisinya dengan lampu belakang berdiri selari dengan bentuk belakang yang landai. Rekaan lampu hadapannya juga menyerupai rekaan Renault 5 klasik, dan ia turut diberikan lampu kabus dengan jalur LED membentuk segi empat pada sisi bampar hadapan menyerupai lampu kabus pada versi prestasi Renault 5 Turbo satu ketika dahulu.
Namun berbeza dengan Renault 5 asli yang tampil dengan badan tiga-pintu, versi produksi Renault 5 EV ini dihasilkan dengan badan lima-pintu. Walau bagaimanapun Renault telah mengalihkan pembuka pintu belakang ke bahagian bingkai cermin dan sekaligus ‘menyembunyikan’ kewujudan pintu tersebut. Ia juga ditambah dengan elemen rekaan lebih moden seperti tiang-A dan bumbung yang diwarnakan hitam bagi memberikan rupa seakan bumbung terapung.
Bahagian yang nampak seperti liang udara pada penutup bonet hadapan hatchback ini sebenarnya adalah penunjuk cas bateri, manakala port untuk mengecas pula terletak pada fender hadapan sebelah kiri.
Dari segi saiz, Renault 5 EV ini dihasilkan dengan dimensi 3,920 mm panjang, 1,770 mm lebar, 1,500 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,540 mm. Jadi saiznya adalah sedikit lebih kecil berbanding hatchback segmen-B Renault Clio dan Mitsubishi Colt 2024 yang diasaskan dari platform CMF-B dengan ukuran 130 mm lebih pendek, jarak roda 45 mm lebih dekat dan 28 mm kurang lebar.
Walau bagaimanapun ini tidak menghalang untuk Renault memberikan rim 18-inci secara standard kepada hatchback EV ini, yang dibalut dengan tayar 195/55R18 bagi memberikan rupa yang agresif seakan sebuah kereta konsep. Set roda berkenaan membolehkan Renault 5 ini hadir dengan jarak trek roda hadapan 1,550 mm dan belakang 1,530 mm.
Renault 5 moden ini hanya menerima satu motor elektrik tunggal yang diletakkan pada gandar hadapan bagi memacu hanya roda hadapan. Namun motor berkenaan datang dalam tiga varian iaitu 110 kW (berkuasa 150 PS/245 Nm), 90 kW (berkuasa 122 PS/225 Nm) dan 70 kW (berkuasa 95 PS/215 Nm).
Bagi model paling berkuasa iaitu 110 kW, ia menerima suapan kuasa dari bateri nikel mangan kobalt (NMC) 52 kWj membolehkan hatchback EV kompak dengan berat tidak sampai 1,500 kg ini bergerak sejauh 400 km dengan satu cas penuh mengikut kitaran ujian WLTP.
Manakala varian dengan motor elektrik 90 kW dan 70 kW pula, ia menerima bateri NMC 40 kWj yang menawarkan jarak gerak 300 km. Renault mendakwa bateri NMC yang dibekalkan ini memberikan ketumpatan tenaga paling baik dalam pasaran buat masa sekarang.
Untuk mengecas, Renault 5 EV ini menawarkan sistem cas pantas DC dimana model 110 kW boleh menerima pengecas DC 100 kW, manakala model 90 kW dan 70 kW pula boleh menerima sehingga 80 kW DC. Kedua-duanya boleh memenuhkan bateri dari 15-80% dalam masa hanya 30 minit.
Manakala untuk sistem AC, kesemua varian menyokong pengecas sehingga 11 kW. Bagi varian 110 kW dan 90 kW, ia bukan sahaja boleh membekalkan kuasa kepada kelengkapan elektrik menerusi sistem vehicle-to-load (V2L) dengan kapasiti sehingga 3.7 kW, malah ia turut boleh mengalirkan tenaga semula ke grid kuasa elektrik menerusi sistem vehicle-to-grid (V2G)
Sistem keselamatan Renault 5 E-Tech Electric ini didakwa adalah setara dengan model-model segmen-B lain. Antara sistem yang dibekalkan termasuk brek kecemasan automatik hadapan dan belakang, bantuan kekal lorong kecemasan, cruise control adaptif dengan fungsi stop & go serta bantuan kekal tengah lorong, dan juga bantuan parkir bebas tangan.
EV ini juga menerima sistem yang digelar sebagai Safety Coach, di mana ia berfungsi untuk “membantu tabiat pemandu dan melatih untuk memberikan nasihat secara peribadi untuk memandu dan menggunakan ADAS, untuk mencadangkan kemungkinan bagi penambahbaikan.”
Penekanan aspek mesra alam Renault 5 EV ini bukan hanya diambil berat pada unit rangkaian kuasa, malah turut diambil kira dari sudut pembuatan yang lain. Contohnya pada sebelah kabin, hatchback ini menerima tempat duduk yang dibalut oleh fabrik yang boleh dikitar semula sepenuhnya untuk trim kemasan Techno dan Iconic Chiq.
Varian kemasan Iconic Chiq juga menerima material dari sumber bio untuk pembuatan upholsteri roda stereng dan juga penebat bunyi. Apa yang menarik, kabin Renault 5 EV ini turut diberikan pilihan aksesori pemegang roti tradisi Perancis iaitu baguette yang boleh disangkut pada konsol tengah.
Turut boleh dilihat dalam gambar-gambar rasmi yang disiarkan, Renault E-Tech Electric ini juga diberikan perincian dalaman yang unik seperti skrin mini pada tuil penukar gear pada konsol stereng yang memaparkan imej bendera Perancis, illustrasi Renault 5 klasik dengan angka 1972 dan pelbagai lagi.
Untuk sistem infotainmen, ia dibekalkan dengan sistem multimedia Renault OpenR Link yang menampilkan fungsi Google bina-dalam, menawarkan akses pelbagai aplikasi termasuk Google Maps, Google Assistant dan pelbagai lagi yang boleh dimuat turun dari Google Play. Sistem dengan skrin utama 10.1-inci berkenaan turut boleh dihubungkan kepada telefon pintar menerusi Android Auto (masih perlu menggunakan wayar) dan juga Apple Carplay tanpa wayar.
Teknologi kecerdasan buatan (AI) turut diadaptasi pada sistem berkenaan, menerusi avatar yang diberi nama Reno. Ia bukan sahaja telah diset dengan jawapan untuk 200 soalan seperti “Hey Reno, how do I connect my phone to the car?”, atau “Hey Reno, how do I change a tyre?”, malah ia juga diintegrasikan bersama ChatGPT bagi menjawab pelbagai soalan lain.
Seperti yang telah disebutkan di atas, Renault 5 E Tech Electric ini ditawarkan dalam dua varian kemasan iaitu Techno, dan Iconic Chiq, serta tiga varian unit rangkaian kuasa yang boleh dipilih oleh pelanggan. Ketika dilancarkan, Renault menawarkan lima pilihan warna badan iaitu Pop Yellow, Pop Green, Pearl White, Starry Black dan Midnight Blue, manakala harga jualannya pula akan bermula sekitar 25,000 Euro (RM130k) di Eropah.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.