Video yang dirakamkan menerusi dashcam yang memaparkan pelanggaran secara berhadapan ini tular di laman media sosial. Ia melibatkan sebuah Toyota Vios dan motosikal, menurut video yang dimuatnaik oleh Facebook DashCam Malaysia, kemalangan terbabit berlaku di Batu 21 Jalan Parit Sulong, Muar, Johor, pada jam 6.59 pagi semalam.
Rakaman terbabit dimulakan dengan kenderaan perakam yang memotong sebuah trak, dan terdapat dua motosikal di hadapan di lorong yang sama. Kemudian kenderaan perakam kembali memasuki lorong semula, dan selepas itu kelihatan sebuah Toyota Vios berwarna putih memotongnya menggunakan lorong bertentangan.
Kemudian Vios berkenaan kelihatan membrek secara mengejut dan merempuh sebuah motosikal yang datang dari arah bertentangan. Walau pun dari jarak yang agak jauh, lampu motosikal yang dari arah bertentangan agak jelas kelihatan. Malahan pada mulanya motosikal terbabit berada di tengah lorong, dan kemudian penunggangnya pantas menukar laluan ke sebelah kiri, mungkin dengan harapan agar Vios berkenaan dapat mengubah laluan sedikit ke kiri untuk mengelaknya. Namun apakan daya, rempuhan kuat tetap berlaku dan kelihatan penunggang motosikal terbabit melambung tinggi.
Menerusi ruangan komen yang dikongsikan di laman X @mynewshub, ada maklumbalas yang ditulis oleh @httpizyxn yang mengatakan penunggang yang dirempuh itu merupakan ahli keluarganya dan meninggal dunia akibat kemalangan terbabit. Walau bagaimana pun, rakaman video terbabit boleh dijadikan bahan bukti untuk membantu siasatan lanjut oleh pihak polis. Itulah kepentingan adanya dashcam dalam kenderaan.
Kena ingat, bila kita memotong kenderaan besar seperti trak dan lori, ia mengambil masa lebih lama berbanding memotong kenderaan yang lebih kecil termasuk kereta dan motosikal. Jika gagal memotong, inilah risiko yang kerap terjadi iaitu menjadi penyebab kemalangan maut.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.