Sejak baru-baru ini cuaca agak panas dan kadar yang dicapai cukup untuk ia dipanggil sebagai satu gelombang haba. Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), sehingga petang semalam, Pokok Sena, Kedah mencatat amaran gelombang haba Tahap 2.
Secara keseluruhannya 23 tempat di Malaysia diletakkan di bawah amaran gelombang haba Tahap 1, dan ini termasuk keseluruhan Perlis, hampir semua tempat di Kedah, bahagian utara dan tengah Seberang Perai, bahagian Timur Laut Pulau Pinang, Larut Matang, Kinta, Manjung, Kampar, Batang Padang, Kuala Kangsar, Beaufort, Sabah dan Limbang, Sarawak. Selangor, Sepang, Petaling dan Kuala Lumpur pula berada di Tahap 1.
MetMalaysia menyatakan lagi, amaran Tahap 1 dikeluarkan apabila suhu pada sesuatu lokasi mencatat antara 35°C dan 37°C dalam masa tiga hari berturut-turut, manakala Tahap 2 apabila suhu harian mencecah antara 37°C dan 40°C dalam masa tiga hari berturut-turut.
Menurut MetMalaysia lagi, gelombang haba boleh membawa kepada insiden seperti jerebu, kemarau, pengurangan tahap air di empangan, menjejaskan kesihatan (seperti strok haba) dan kebakaran hutan. Jabatan itu membuat saranan supaya orang ramai meminum air secukupnya, hadkan aktiviti luar, pakai pakaian yang selesa, elakkan pembakaran terbuka serta simpan bekalan air yang cukup di rumah.
Bagi pengguna kenderaan, anda diingatkan supaya periksa kenderaan beberapa kali sebelum meninggalkannya. Baru bulan lepas, seorang kanak-kanak berumur lima tahun terkorban selepas ditinggalkan dalam kereta yang diletakkan di kawasan parkir Hospital Shah Alam sendirian, dalam keadaan kereta tidak hidup dan terutup rapat.
Kes seperti ini semakin kerap berlaku, mungkin kerana lupa, terlalu sibuk atau berada dalam keadaan tertekan. Satu cara supaya anda tidak lupa ada anak di belakang adalah dengan meletakkan barang penting di bahagian belakang, jadi apabila mahu turun, anda mesti akan pergi ke belakang terlebih dahulu.
Contoh bahaya gelombang haba boleh dilihat melalui satu video yang muat naik oleh PETA, dengan demonstrasi yang meletakkan atlet NFL dalam kenderaan di bawah panas terik, dan mencatat suhu dalam kabin sehingga 48.9°C. Beliau cuma dapat bertahan selama lapan minit.
Suhu badan kanak-kanak pula boleh naik lebih cepat berbanding orang dewasa. Ini bermakna, mereka lebih terdedah kepada bahaya strok haba dan boleh menyebabkan kecederaan dalaman dan meragut nyawa. Selain daripada itu, pastikan juga anda tidak meninggalkan powerbank di dalam kereta, kerana ia boleh menjadi panas, meletup dan menyebabkan kebakaran.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.