Selain Ora 07, GWM Malaysia hari ini turut mempertontonkan model SUV Tank 300, yang dijangka akan dilancarkan di sini pada suku ketiga tahun ini. Bulan lalu, syarikat itu memaklumkan bakal membawa masuk unit terawal SUV off-road berkenaan.
Ketika ini, harga Tank 300 untuk pasaran Malaysia masih belum didedahkan harga atau varian yang akan diperkenalkan. Seperti selalu, perincian spesifikasi hanya akan diumumkan menjelang pelancaran rasminya. Maka, apa yang dinyatakan di sini adalah berdasarkan apa yang dilihat berdasarkan unit CBU yang dipamerkan semata-mata.
Melihat kepada adanya kabel oren dalam ruang enjin, Tank 300 yang ditunjuk ini kemungkinan besar dikuasakan oleh enjin 2.0 liter turbocas empat-silinder petrol yang menjana kuasa sebanyak 220 PS (217 hp atau 162 kW) dan 380 Nm.
Ini digandingkan bersama transmisi automatik lapan-kelajuan dan sistem pacuan semua roda separuh masa, dengan fungsi 2H, 4H, 4L serta differential lock depan dan belakang. Tank 300 ini juga datang dengan fungsi tank turn, yang mana ketika diaktifkan akan mengunci roda belakang bahagian dalam untuk membolehkan kenderaan membelok dalam selekoh ketat.
GWM Tank 300 mempunyai ukuran dimensi 4,760 mm panjang, 1,930 mm lebar, 1,903 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,750 mm. Ia mempunyai jarak kelegaan tanah 224 mm serta kemampuan meredah air dengan kedalaman hingga 700 mm.
Melihat rekaannya, Tank 300 dengan jelas menggabungkan rekabentuk ikonik kenderaan 4×4 yang pernah dilihat sebelum ini, misalnya daripada Jeep Wrangler/Rubicon, dan memberi sentuhan dan teknologi tersendiri untuk menjadikannya berbeza — lihat bahagian rekaan lampu depan dan belakang yang dihadirkan dengan elemen garis melintang dan menegak dengan memanfaatkan lampu LED, begitu juga dengan lampu kabus yang diletak di sudut bamparnya. Tayar pula menggunakan unit Michelin Primacy SUV dengan rim aloi bersaiz 18-inci.
Di dalam, suasananya agak ringkas dan kemas. Papan pemukanya seperti mengambil ilham yang jelas dari model Mercedes-Benz G-Class dengan rekaan menegak dan rapat ke depan, corong pendingin ala turbin, dua skrin 12.3-inci (satu untuk kluster instrumen, satu lagi untuk infotainmen) serta pemegang pintu tersorok. Tombol gearnya diberikan rekaan yang agak menarik, dikelilingi juga oleh butang kawalan sistem pacuan empat roda, suis brek parkir elektrik dan sistem bantuan pemandu.
Ciri lain yang ada termasuklah pendingin automatik, kerusi depan larasan elektrik, balutan kulit, sistem bunyi Harman Infinity, ruang cawan yang dalam di bawah perehat lengat di tengah, sunroof larasan elektrik, pengecas tanpa wayar dan paddle shifter. Sistem keselamatan aktif seperti kawalan melayar adaptif dan AEB antara ciri yang turut melengkapinya.
GWM Tank 300 ini dijangka akan dilancarkan pada suku ketiga tahun ini. Jadi, sementara itu, dekat dahulu model ini melalui galeri gambar yang kami sediakan. Cukup rugged SUV ini? Dan berapa harga yang berpatutan dikenakan? Di Thailand, ia dijual dengan harga bermula 1.649 juta baht (sekitar RM218k).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.