Luas gudang alat ganti Proton berkembang lebih 35% dalam masa 2 tahun, tahap ketersediaan capai 94%

Luas gudang alat ganti Proton berkembang lebih 35% dalam masa 2 tahun, tahap ketersediaan capai 94%

Ketika mengumumkan program Proton Operational Excellence (POE) yang bertujuan untuk mempertingkatkan aspek servis lepas jualannya tahun lalu, Proton turut memberitahu bahawa gudang-gudang alat gantinya di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak kini telah pun dibesarkan.

Pembesaran yang dibuat ini sudah tentu dengan satu tujuan iaitu menyelesaikan masalah ketersediaan komponen alat ganti, dan memastikan komponen tersebut boleh dihantar dengan cepat ketika ia diperlukan segera. Dan bagi memberikan gambaran jelas bagaimana gudang-gudang ini beroperasi, Proton telah menjemput sekumpulan media untuk melawat salah satu gudang alat gantinya, iaitu gudang Proton Parts Center Sdn Bhd (PPCSB) yang terletak di Hicom Glenmarie, Shah Alam pada Jumaat lalu.

Menurut Proton, ia kini mempunyai lima gudang alat ganti yang sedang beroperasi. PPCSB merupakan gudang utamanya yang turut berfungsi sebagai ibu pejabat, dan sudah mula beroperasi sejak 19 Jun 1992. Ia bukan sahaja membekalkan alat ganti kepada 354 pelanggan di Malaysia yang terdiri dari pusat pembaikan badan dan cat, stokis serta jaringan pusat servis bertauliah, malah PPCSB juga berurusan dengan 26 jaringan pengedarnya di luar negara.

Jadi, fasiliti dengan keluasan 267 hektar ini bukan hanya menguruskan penghantaran alat ganti bukan hanya untuk semenanjung Malaysia, malah ia turut menghantar alat ganti ke Malaysia Timur dan mengeksport ke luar negara, serta menerima komponen alat ganti yang diimport dari luar, dengan kemampuan menerima 2,500 hingga 4,500 tempahan setiap hari.

Menerusi pemerhatian kami ketika sesi lawatan minggu lalu, pusat komponen alat ganti sememangnya menyimpan hampir kesemua alat ganti untuk kereta Proton, antaranya set lengkap enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo (GEP3), enjin 1.3 dan 1.6 Campro VVT, transmisi CVT, transmisi 7DCT, pelbagai kotak dengan cop Honda dan Suzuki iaitu alat ganti untuk ‘Perdana Accord’ dan Proton Ertiga serta pelbagai lagi.

Sejak tahun lalu, gudang utama ini telah dibantu dengan satu lagi gudang tambahan iaitu PPCSB HQ2 yang terletak bersebelahan. Fasiliti dengan keluasan 37 hektar ini menyimpan alat ganti yang terdiri dari panel-panel badan termasuk fender, pintu penutup but belakang dan bonet hadapan, panel utama sisi badan bumbung, cermin dan pelbagai lagi.

Di PPCSB HQ2 ini, bukan hanya panel badan model-model baharu sahaja di simpan, ia juga mempunyai stok alat ganti untuk model yang tidak lagi dijual oleh Proton seperti Exora dan juga Preve. Tidak jauh dari dua gudang utama ini, Proton turut mempunyai satu lagi gudang berdekatan iaitu di XinHwa Batu Tiga, di Shah Alam di mana fungsi utamanya adalah untuk menyimpan stok minyak dan bendalir pelincir.

Untuk Sabah dan Sarawak, kedua-duanya mempunyai gudang masing-masing yang tersendiri. Di Sarawak, bekalan komponen alat ganti Proton disimpan di Pusat Alat Ganti Serantau (RPC) yang terletak di Bintawa, Kuching. Pusat berkenaan baru sahaja berpindah di fasiliti baharu dengan keluasan 27 hektar pada tahun lalu, berbanding bangunan lama yang hanya berkeluasan 10 hektar.

Manakala Di Sabah, Proton mempunyai sebuah lagi RPC yang terletak di Kelombong, Kota Kinabalu. Ini juga merupakan RPC baharu yang hanya akan dirasmikan pada suku kedua tahun ini, menampilkan keluasan 28 hektar berbanding fasiliti sebelum ini yang hanya berkeluasan 10 hektar.

Kedua-dua RPC Kuching dan RPC Kota Kinabalu ini membekalkan semua jenis alat ganti untuk semua model Proton bagi pasaran Sarawak dan Sabah, serta mampu menguruskan sebanyak 150 hingga 500 tempahan setiap hari.

Kewujudan RPC ini juga membolehkan bekalan alat ganti dapat dihantar ke Malaysia Timur dua kali lebih banyak dari sebelum ini, dan vendor dari luar negara juga dapat menghantar alat ganti terus ke Sabah dan Sarawak tanpa perlu ke PPC di Lembah Klang terlebih dahulu.

Secara keseluruhan, penambahbaikkan dalam jangka masa dua tahun kebelakangan ini membolehkan Proton mempunyai ruang storan sebesar 390 hektar untuk menyimpan alat ganti, naik dari hanya 287 hektar pada 2021 atau 35% lebih besar. Ini membolehkan ia menyimpan stok 1.5 kali lebih banyak, dengan lebih dari 30,000 jenis nombor komponen (part number), kesemuanya dianggar bernilai RM130 juta.

Luas gudang alat ganti Proton berkembang lebih 35% dalam masa 2 tahun, tahap ketersediaan capai 94%

Hasilnya, PPCSB menyatakan bahawa ketersediaan alat ganti untuk model-model terkini Proton kini sudah berada pada tahap 94% berbanding 84% pada 2021. Pesanan tertangguh (back order) untuk alat ganti Proton juga kini sudah berkurangan sehingga 60% dengan sistem pesanan yang efektif, serta sokongan yang diberikan oleh bahagian perolehan dan pembuatan.

Dengan kemampuan yang ada sekarang juga PPCSB dapat menangani peningkatan pesanan alat ganti harian 35% lebih tinggi dari jaringan pelanggannya. Manakala tempoh menunggu juga kini lebih pendek kerana proses kerja yang sedang berlangsung (WIP) telah berkurangan sehingga 63% berbanding dua tahun sebelum itu.

Walaupun dengan pelbagai penambahbaikkan ini menghasilkan banyak perubahan yang positif, ini tidak bermaksud Proton sudah melengkapkan segala proses transformasi. Buat masa sekarang PPCSB sebenarnya sudahpun masuk ke proses akhir untuk mengimplementasikan sistem baharu yang lebih cekap bagi mengendalikan pergerakan stok dalam gudang, yang dikenali sebagai Sistem Pengurusan Gudang Baharu (WMS).

Luas gudang alat ganti Proton berkembang lebih 35% dalam masa 2 tahun, tahap ketersediaan capai 94%

Sistem WMS ini dibangunkan bersama bahagian IT dari Geely serta disokong oleh sistem logistik dan Geely Logistic. Pembangunan tersebut melibatkan perkongsian pengetahuan merentas negara yang dibuat secara interaksi fizikal dan atas talian antara Shah Alam, Wuhan dan Hangzhao.

Perkongsian pengetahuan tersebut menjadi usaha kerjasama bagi mengumpulkan maklumat berkenaan keperluan pengguna, berkongsi amalan yang terbaik dan fokus pada digitalisasi serta mengoptimakan proses. Menurut Proton, PPCSB bakal mula menggunakan sistem WMS ini bermula pada penghujung Mac ini.

Selain itu, PPCSB juga masih berusaha bagi memperbesarkan lagi saiz gudang-gudangnya bagi membolehkan lebih banyak stok alat ganti tersedia, serta memperbaiki lagi sistem logistik sedia ada bagi memastikan pelanggan dapat menerima alat ganti yang dipesan lebih cepat.

Luas gudang alat ganti Proton berkembang lebih 35% dalam masa 2 tahun, tahap ketersediaan capai 94%

“Proton berbesar hati untuk berkongsi komitmen kami dalam ekosistem penggudangan alat ganti kami dan rancangan untuk penambahbaikkan penggudangan rantaian pembekalan komponen bagi 2024 yang menggariskan dedikasi kami bagi perubahan kepada yang lebih baik secara berterusan,” kata naib CEO Proton Roslan Abdullah dalam sesi lawatan media berkenaan.

“Pendedahan sistem penggudangan baharu kami ini menunjukkan usaha kami dalam mengejar inovasi tanpa henti bagi memastikan penyelesaian optimum untuk pelanggan yang kami dihargai dan akan terus berusaha bagi menambah baik servis selepas jualan dan memberikan kepuasan pelanggan pada tahap tertinggi,” tambahnya lagi.

Dalam majlis yang sama, Roslan turut memberi jaminan bahawa selepas X70, Proton kini telah membuat perancangan dan memastikan bekalan alat ganti termasuk yang diperlukan untuk pembaikan kemalangan untuk terlebih dahulu berada dalam gudang alat ganti, sebelum model satu-satu model baharu itu dilancarkan dalam pasaran. Lebih perincian berkenaan isu tersebut boleh anda baca pada PAUTAN INI.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required