Goodyear bakal tutup kilangnya di Shah Alam Jun tahun ini, 550 pekerjanya di Malaysia akan terjejas

Goodyear bakal tutup kilangnya di Shah Alam Jun tahun ini, 550 pekerjanya di Malaysia akan terjejas

Menerusi satu kenyataan yang dibuat untuk kegunaan dalaman, presiden Goodyear Asia Pasifik Nathaniel Madarang mengumumkan bahawa syarikat berkenaan bakal menghentikan operasi kilang tayarnya di Seksyen 15, Shah Alam tahun ini. Secara spesifiknya, penutupan tersebut akan bermula 30 Jun 2024 dan penutupan sepenuhnya akan dibuat menjelang hujung tahun nanti.

Menurut Madarang, penutupan ini adalah selari dengan program transformasi Goodyear Forward yang disasarkan untuk mengoptimakan saiz dan portfolio syarikat pengeluar tayar itu, seterusnya akan memberikan margin yang lebih besar serta mewujudkan nilai kepada pemegang saham.

“Program ini merangkumi beberapa langkah spesifik bagi memberikan pengurangan kos tahunan sebanyak USD1 bilion (RM4.73 bilion) menjelang 2025, bagi memastikan kita kekal kompetitif dan diletakkan sebagai peneraju industri,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Beliau turut menyatakan penutupan kilang berkenaan walau bagaimanapun bakal menjejaskan seramai 550 pekerjanya di Malaysia. “Kami komited untuk melayan pekerja kami dengan secara terhormat dan telus dalam proses ini,” jelasnya dan menambah keputusan yang diambil ini bukan sesuatu yang mudah, tetapi ia perlu dilakukan untuk jangka masa panjang perniagaan dan para pelanggannya.

Goodyear telah memulakan perniagaannya di Malaysia sejak 1929, manakala kilangnya di Seksyen 15 tersebut merupakan antara kilang terawal yang dibina di Shah Alam, dirasmikan pada 18 Mei 1974 oleh Perdana Menteri Malaysia kedua Tun Haji Abdul Razak. Kilang tersebut juga membekalkan tayar untuk kereta pertama Malaysia iaitu Proton Saga pada tahun 1985, dan turut menjadi kilang pertama Goodyear yang menerima pensijilan ISO 9002 pada 1992.

Buat masa sekarang kilang Goodyear Shah Alam ini masih membekalkan tayar kepada Perodua, kerana pengeluar automotif nasional kedua itu mahu mengekalkan tahap kandungan tempatan yang tinggi, seterusnya menerima lebih potongan cukai bagi menjual kenderaannya dengan harga kompetitif. Dengan penutupan kilang ini mungkin kita akan melihat Perodua bakal menggunakan tayar Toyo atau Continental kerana hanya dua jenama ini masih mempunyai kilangnya di Malaysia?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required