Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan kerajaan menerusi Jawatankuasa Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) Jabatan Perdana Menteri sedang meneliti cadangan projek pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3).
Beliau berkata demikian bagi menjawab Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (PN-Kemaman) yang ingin mengetahui status terkini pembinaan LPT3 dalam sesi soal jawab diDewan Rakyat semalam. Ahmad Samsuri juga ingin mengetahui bentuk model pembiayaan dan model operasi yang dicadang untuk pembinaan LPT3 bagi memastikan pulangan pelaburan kepada pihak terbabit.
Menurut Ahmad Maslan, projek pembinaan LPT3 akan menggunakan model pembiayaan Bina, Kendali dan Pindah (BOT). Katanya, menerusi kaedah BOT, syarikat pemaju akan membuat pembiayaan pembinaan LPT3 melalui bank serta mendapatkan pulangan keuntungan melalui kutipan bayaran tol dan apabila selesai dalam suatu tempoh, projek dikembalikan kepada kerajaan.
“Kita ada projek ECRL (Laluan Rel Pantai Timur), kita ada CSR (Lingkaran Tengah Utama), jadi kementerian berpandangan model pembiayaan bagi cadangan LPT ini pula akan menggunakan model BOT.
“LPT3 adalah lebuh raya antara bandar, kebiasaannya hanya kerap dilalui pengguna pada hujung minggu berbeza dengan lebuh raya dalam bandar yang banyak digunakan dalam lima hari seminggu. Jadi model pembiayaan ini perlu diteliti sebaiknya supaya menguntungkan semua pihak,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
LPT3 dicadangkan bermula dari Kampung Gemuroh di Kuala Terengganu ke Kampung Tunjong di Kota Bharu, Kelantan melibatkan jajaran sejauh 122 kilometer.
Pada tahun 2020, kerajaan terdahulu pimpinan Pakatan Nasional telah meluluskan kos kerja-kerja awalan keseluruhan berjumlah RM35 juta bagi projek LPT3 ini. Di mana ketika itu, menteri yang bertanggungjawab berkata kerja awalan projek tersebut telah bermula pada Ogos 2020 dan dijangka siap April 2022.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.