Syarikat induk myTukar, Carro telah mengumumkan pengambil-alihan platform kereta terpakai Hong Kong, Beyond Cars. Dengan perkembangan tersebut, Carro kini meluaskan kehadirannya kepada tujuh pasaran, terdiri daripada Singapore, Malaysia, Indonesia, Thailand, Japan, Taiwan dan kini Hong Kong.
Beyond Cars ditubuhkan pada 2016, dan telah berkembang menjadi sebuah ekosistem menyeluruh untuk pelanggan yang ingin membeli dan menjual kenderaan mereka — sebuah kitaran penuh melibatkan khidmat konsainan, pembiayaan pengedar, pembiayaan sewa beli dan perkhidmatan insurans.
Platform kenderaan terpakai Hong Kong ini telah menjana keuntungan selama tiga tahun, dan dengan pengambil-alihan ini Carro ingin meneruskan pertumbuhan itu dengan jangkaan bagi compound annual growth rate (CAGR) yang lebih daripada 50% dalam tempoh tiga tahun, jelas Carro dalam satu kenyataan.
“Kami melihat potensi besar di Hong Kong untuk tahun mendatang. Beyond Cars merupakan pemain utama dan unik yang memanfaatkan saluran e-dagang dan teknologi di dalam pasaran kenderaan terpakai di sana. Ini tentunya selari dengan pendekatan kami, yang turut berkongsi matlamat perniagaan yang sama,” ujar CEO dan Pengasan Bersama Carro, Aaron Tan.
“Dengan adanya hubungan erat bersama pengeluar EV global dan kemampuan untuk memeriksa, servis dan menyelenggara kenderaan, kami juga ingin membawa kepakaran kami ke Hong Kong dan menjadi pilihan yang paling dipercayai oleh pelanggan yang mencari EV terpakai yang dalam keadaan seperti baru,” tambah Tan.
Susulan perkembangan tersebut, Beyond Cars akan terus diterajui oleh CEO dan Pengasas Bersama Beyond Cars Hong Kong, Garry Yu, dan COO Luke Yip dengan perniagaan itu akan disepadukan dengan platform berasaskan data Carro serta teknologi lengkapnya termasuk kemampuan AI untuk harga, pengurusan inventori dan proses pemeriksaan.
“Sejak dilancarkan pada 2016, misi kami adalah unutk sentiasa memberikan pengalaman jual beli kenderaan yang mudah dan telus. Dengan kehadiran Carro, saya yakin kami akan mampu mengubah pasaran kereta terpakai di Hong Kong dan menjadi pilihan nombor satu untuk pelanggan,” ujar Garry Yu.
Carro juga akan bekerja ke arah memperluas rangkaian kerjasama Beyond Cars, dan terus membangunkan perkhidmatan sampingan merangkum teknologi berkaitan insurans, pembiayaan dan lepas jualan di Hong Kong.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.