Satu lagi jenama EV dari China akan tiba di Malaysia tidak lama lagi, iaitu Xpeng. Pengasas dan CEO syarikat dari Guangzhou ini, He Xiaopeng memberitahu, mereka akan melancarkan model pemanduan sebelah kanan (RHD) pada separuh kedua tahun ini dan mengembangkan lagi perniagaan keluar dari China.
Antara pasaran RHD yang berada dalam sasaran Xpeng adalah Hong Kong dan Asia Tenggara. Bagi Asia Tenggara, beliau menbyatakan bahawa Thailand, Singapura dan Malaysia merupakan sasaran utama. Untuk makluman, 5% pegangan dalam Xpeng dimiliki oleh Volkswagen Group.
“Selari dengan strategi global 2.0 Xpeng, kami telah menjalin kerjasama dengan lebih banyak pengedar di luar negara, dengan sasaran menjadikan kereta elektrik pintar terbaik dalam kelas mudah diakses oleh pelanggan seluruh dunia,” kata He dalam menjawab soalan yang diberikan oleh South China Morning Post (SCMP).
Xpeng pada masa ini cuma membuat kenderaan panduan sebelah kiri, dan kebanyakan daripadanya dijual hanya di tanah besar China. Selain Hong Kong dan ASEAN, syarikat ini juga mempunyai perancangan untuk memasuki pasaran Eropah.
Berkenaan model, presiden Xpeng, Brian Gu pernah memberitahu SCMP tahun lepas bahawa kereta RHD pertama mereka nanti adalah SUV G6 versi dipertingkat. Model ini diberitahu akan tiba di Hong Kong hujung tahun 2024, dan jika ASEAN adalah seterusnya, mungkin ia akan tiba di Malaysia pada tahun 2025?
Di China, G6 dijual pada harga antara 209,900 ke 276,900 yuan (RM136,933 ke RM180,642). Versi RWD mempunyai kuasa 296 PS/440 Nm, manakala versi AWD mampu menghasilkan 487 PS/660 Nm dan menggunakan dua motor. Bergantung kepada bateri, ia boleh memberikan jarak gerak antara 580 km ke 700 km.
GALERI: Xpeng G6
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.