Dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh Bernama, kerajaan dikatakan akan memberi fokus kepada pembangunan pusat pengecas pantas DC untuk mengurangkan kerisauan pengguna kenderaan elektrik (EV) apabila melakukan perjalanan jarah jauh.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI), Liew Chin Tong, kementerian kini bersama dengan Institut Automotif Robotik dan IoT Malaysia (MARii) dan Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) kini sedang meneliti dan memperhalusi kajian untuk meningkatkan sasaran pengecas DC.
Bercakap di dalam Dewan Rakyat, beliau berkata, hasil kajian ini akan dibentangkan semasa perjumpaan Jawatankuasa Pemandu EV Kebangsaan (NEVSC) pada suku kedua tahun ini.
Demi membantu mencapai sasaran tempat mengecas EV yang ditetapkan oleh kerajaan, Liew berkata, syarikat konsesi akan bekerjasama dengan Tenaga Nasional untuk memastikan kuasa cukup bagi keperluan stesen pengecas EV jenis DC. Beliau menambah, Lembaga Lebuhraya Malaysia juga akan membantu syarikat konsesi serta pengendali pusat pengecas (CPO) EV untuk mempercepatkan proses kelulusan.
Bulan lalu kementerian tersebut mengumumkan bahawa PLUS dan LLM telah bersetuju untuk memudahkan proses pembangunan dan meningkatkan jumlah stesen pengecas EV di sepanjang lebuh raya PLUS. Kedua-dua pihak akan mengenal pasti lokasi strategik untuk stesen pengecas baru di kawasan rehat dan rawat (R&R) serta hentian di sepanjang lebuh raya itu, sementara pembangunan substesen di lokasi yang diperlukan juga sedang diperhati.
Tahun lepas kerajaan mengeluarkan meletakkan sasaran untuk mempunyai tambahan 100 lagi tempat mengecas EV di kawasan lebuh raya bertol menjelang tahun 2025. Pada masa ini, terdapat 60 pusat mengecas EV di Lebuhraya Utara Selatan dan Lebuhraya Pantai Timur, yang diletakkan di R&R serta stesen minyak.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.