Bermaz Auto dapat hak pengedaran jenama EV Xpeng dari China di Malaysia – dimulakan dengan SUV G6?

Bermaz Auto dapat hak pengedaran jenama EV Xpeng dari China di Malaysia – dimulakan dengan SUV G6?

Selepas perbincangannya dilaporkan berlaku tahun lalu, kini Bermaz Auto mengesahkan bahawa ia telahpun mendapat hak pengedaran kenderaan elektrik (EV) berjenama Xpeng dari China untuk pasaran Malaysia. Hak tersebut diterima dari Shenzhen Xiaopeng Motors Supply Chain Management (Shenzhen XPeng) dan Guangzhou Xiaopeng Motors Trading (Guangzhou XPeng), sekutu bagi Guangzhou Xiaopeng Motors Technology (XPeng Motors).

Pengumuman dari Bermaz ini dibuat sebaik sahaja ada laporan yang mengatakan bahawa Xpeng mempunyai rancangan bagi mengembangkan perniagaannya ke pasaran pemanduan sebelah kanan (RHD) seperti Hong Kong dan Asia Tenggara. Xpeng mengambil langkah ini bagi membolehkannya bertahan sekiranya berlaku kejatuhan jumlah jualan di China berikutan perang harga EV yang kini sedang berlangsung di sana menyebabkan keuntungan hampir semua jenama terjejas.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bermaz Auto Datuk Francis Lee melahirkan rasa terujanya tentang perjanjian ini dan melihat apa yang akan diberikan oleh produk jenama berkenaan. “Ia dilengkapi dengan ciri-ciri terkini seperti teknologi pemanduan autonomi, kokpit digital dan bateri berprestasi tinggi,” katanya.

Sementara itu, pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Xpeng He Xiaopeng menyatakan bahawa kumpulan XPeng berhasrat untuk mengembangkan operasi perniagaannya dalam tempoh tiga tahun akan datang, diterajui oleh barisan produk semasa EV pintar syarikat, termasuk P7i, P5, G9 dan juga MPV flagship yang baharu dilancarkan iaitu X9.

Bermaz Auto dapat hak pengedaran jenama EV Xpeng dari China di Malaysia – dimulakan dengan SUV G6?

“Misi kami adalah untuk memacu transformasi EV pintar dengan teknologi, membentuk pengalaman mobiliti masa depan dan untuk mengoptimumkan pengalaman mobiliti pelanggan kami,” katanya.

Petunjuk sebelum ini membayangkan bahawa kereta pertama Xpeng yang akan dihasilkan dalam versi RHD adalah SUV G6 versi kemaskini terbaharu, dijangka akan mula dijual di Hong Kong pada lewat 2024. Masih tiada sebarang petunjuk untuk pasaran Malaysia dan ASEAN yang lain, namun boleh dijangka ia akan tiba di sini mungkin pada awal 2025.

Di China, Xpeng G6 dijual pada harga bermula 209,900 hingga 276,900 yuan (RM136,933 hingga RM180,642). SUV ini menggunakan asas sistem elektrikal 800V, di mana varian pacuan roda belakang dilengkapi dengan motor berkuasa 296 PS/440 Nm ,manakala varian pacuan semua roda pula dibekalkan dengan dua motor bagi menghasilkan kuasa keseluruhan 487 PS dan tork 660 Nm.

Dua pek bateri ditawarkan untuk model ini iaitu unit LFP 66-kWj bagi model RWD (jarak gerak CLTC 580 km) dan NMC 87.5-kWj bagi memberikan jarak gerak 755 km (motor tunggal) atau 700 km (dua motor) dalam kitaran CLTC. Kadar maksimum untuk pengecasan pantas DC ialah 480 kW.

GALERI: Xpeng G6

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required