Kementerian Pengangkutan sedang membangunkan sistem penimbang dalam gerakan berkelajuan tinggi untuk mengesan lori dengan muatan berlebihan, laporan The Star.
Menurut Timbalan Menteri MOT, Datuk Hasbi Habibollah, pembangunan sistem berkenaan yang sedang berada dalam fasa akhir, bertujuan untuk mengesan kenderaan berat dengan lebih muatan yang berada di jalan raya.
“Dengan ini, pengesanan dan pemantauan dilakukan secara automatik dalam masa nyata (in-real time) tanpa memerlukan kenderaan berat berhenti untuk pemeriksaan,” kata Hasbi di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Setiu Shaharizukirnain Abdul Kadir berhubung usaha MOT dalam menangani bahaya yang disebabkan oleh kenderaan berat dengan muatan berlebihan yang memandu laju di jalan raya.
Tambah beliau, sebanyak 65,221 saman telah dikeluarkan terhadap kenderaan berat dengan muatan berlebihan dari tahun 2016 hingga September 2023.
“Lebih kurang 94 syarikat kenderaan penghantaran barang telah digantung permit selepas gagal dalam proses audit dan kemalangan pada 2023. Kementerian tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas terhadap mana-mana pihak yang ingkar peraturan dan undang-undang yang ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010,” katanya lagi.
Pada awal Februari lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kenderaan berat dengan muatan berlebihan adalah satu masalah besar dan antara penyumbang kemalangan jalan raya. Katanya, masalah berat muatan berlebihan perlu diatasi dengan tindakan tegas menerusi penguatkuasaan dan ia juga satu masalah yang berlanjutan sekian lama dan perlu ditangani segera,
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.