Proton telah menerima tempat pertama dalam kategori Tenaga Boleh Baharu di bawah segmen atas grid (Grid Nasional) dalam Anugerah Tenaga Nasional (NEA) 2023 baru-baru ini. Penganugerahan tersebut adalah kejayaan hasil inisiatif tenaga solar di kilang pemasangannya di Tanjung Malim yang terdiri daripada kemudahan panel solar dwi-muka tempat letak kereta terbesar di Malaysia yang diperkenalkan buat pertama kalinya dua tahun yang lalu.
Majlis yang dianjurkan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air dan anugerah tersebut disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof. Penganjuran NEA adalah bagi mengiktiraf organisasi yang mengguna konsep dan amalan tenaga mampan yang selaras dengan matlamat
negara mencapai neutral karbon menjelang tahun 2050.
Menurut Proton, sejak dilaksanakan pada Mei 2021 hingga Jan 2024, panel solar dwi-muka yang menjana tenaga langsung daripada cahaya matahari serta pantulan cahaya matahari, bersama-sama dengan panel solar di atas bumbung kilang telah mengurangkan pelepasan CO2 sebanyak 32,406 tan, iaitu lebih tinggi daripada ramalan sasaran awalnya sebanyak 11,536 tan setahun. Ini bersamaan dengan mengimbangi lebih kurang 893,000 pokok, yang seterusnya memberi manfaat besar kepada komuniti dan ekosistem di Tanjung Malim.
Sehingga kini, penggunaan tenaga boleh diperbaharui telah menjana 45.78 GWj dan mengurangkan kos elektrik kemudahan sebanyak 11% pada tahun 2023 dengan penjimatan melebihi RM10 juta. Ini telah mengukuhkan lagi komitmen Proton untuk terus memupuk persekitaran operasi yang lebih hijau dan bersih.
“Proton sebagai pembuat kereta nasional telah menerajui dan membuktikan komitmen kami untuk melindungi
alam sekitar dan kami menggalakkan pengeluar automotif lain serta keseluruhan rantaian bekalan untuk
menggunakan tenaga boleh diperbaharui pada masa hadapan,” kata Dr. Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton.
Sejak tahun 2015, Proton berdedikasi untuk mengurangkan pelepasan karbonnya, bermula dengan Proton
Green Wheel dan inisiatif Hijau Proton yang terdiri daripada lima fasa, termasuk melaksanakan Sistem Pengurusan Tenaga, langkah Kecekapan Tenaga, Pengurusan Sisa dan Air kepada tenaga boleh diperbaharui dan data tenaga digital. Inisiatif ini telah membantu menjimatkan RM20 juta atau bersamaan dengan penjimatan 55,000 MWj dan lebih 40,000 tan pengurangan pelepasan CO2.
Seterusnya, Proton menyasarkan Pelan Hala Tuju Tenaga 10 tahun bermula dari tahun 2020 dengan projek
seperti pengembangan sistem fotovoltaik solar (PV), sistem penyimpanan tenaga bateri, sistem penyejukan dan pemulihan haba sisa dalam perancangan, sejajar dengan matlamat negara untuk mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 45% pada tahun 2025 dan 60% pada tahun 2035.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.