Kementerian Pengangkutan tidak mendapat keuntungan daripada inisiatif pembiayaan yang diperoleh daripada hasil jualan plat kenderaan, sebaliknya pergi ke Kumpulan Wang DiSatukan, ujar Menteri Pengangkutan Anthony Loke, laporan Bernama.
Menurut Loke, jumlah hasil jualan nombor plat tahun lalu mencecah RM311.8 juta, dan ia termasuk hasil jualan nombor pendaftaran khas (NPI), yang mencecah RM21 juta. Penjualan nombor pendaftaran khas bermula sejak 2019, dan tawaran bidaan bermula pada 2023, dengan siri plat M_M.
“Bagaimanapun bagi tahun 2024, seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri semasa pembentangan Belanjawan 2024, sebahagian jualan NPI akan diperuntukkan kepada golongan yang kurang berkemampuan,” kata Loke semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat semalam bagi menjawab soalan dari Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar).
Jelasnya, menerusi sebahagian daripada jualan NPI itu, kerajaan bersetuju untuk terus menanggung bayaran ujian memandu bagi kelas B2, e-hailing dan teksi, yang memberi manfaat kepada 40,000 belia daripada keluarga yang kurang berkemampuan. Selain itu, katanya, sebanyak 100,000 topi keledar termasuk topi keledar kanak-kanak dapat dibekalkan dan diagihkan secara percuma kepada keluarga yang kurang berkemampuan.
Bagi jualan dari plat pendaftaran siri GOLD, ia telah merekodkan keuntungan sebanyak RM17 juta setakat ini, katanya lagi.
“Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, GOLD 1 (plat pendaftaran) telah dibida oleh Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dengan nilai RM1.5 juta. Separuh daripada hasil tersebut dikembalikan kepada Kementerian Pengangkutan bagi tujuan pelaksanaan inisiatif yang dinyatakan,” sambung Loke.
Beliau juga menggesa orang ramai supaya hanya membida nombor plat melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dan mengingatkan agar tidak membeli daripada sumber pihak ketiga bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan.
“Jika anda berhasrat untuk membida, gunakan sistem e-bidaan JPJ kerajaan, [dan] elakkan saluran pihak ketiga. Meningkatkan kesedaran adalah penting kerana kami menyasarkan hasil untuk menyumbang kepada dana kerajaan, membolehkan kami melaksanakan lebih banyak inisiatif untuk membantu rakyat,” kata Menteri Pengangkutan itu.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.