Omoda & Jaecoo Thailand, anak syarikat Chery, bekerjasama untuk membina kilang EV baharu di Rayong, Thailand. Menurut Bangkok Post, produksi dijangka bermula tahun 2025, dan kilang itu pada awalnya akan mengeluarkan kereta untuk pasaran domestik dan ASEAN. Chery juga mempunyai rancangan untuk menjadikan Rayong sebagai pusat eksport, dengan membekalkan stok ke Timur Tengah dan Oceania.
“Kami merancang untuk membahagikan pengeluaran kami kepada dua fasa. Dalam fasa pertama, yang bermula pada 2025, kapasiti pengeluaran tahunan akan mencapai 50,000 unit. Jumlah itu akan meningkat kepada 80,000 unit setahun pada 2028.
“BEV kami akan membentuk 70% daripada jumlah pengeluaran kereta, dengan baki 30% merangkumi kategori PHEV,” kata Qi Jie, Naib Pengarah Urusan untuk Asia Selatan di Chery International. Tambahnya lagi, beliau percaya Thailand mempunyai potensi besar untuk membangunkan industri EV hasil skim EV3.5 yang diperkenalkan oleh kerajaan negara berkenaan.
EV3.5 merupakan skim insentif EV Thailand yang terdiri daripada subsidi dan pengurangan duti import dan cukai eksais untuk menggalakkan pengeluaran dan pembelian kenderaan elektrik dari tahun 2024 hingga 2027. Syarikat induk Chery dijangka memuktamadkan butiran pelaburan pada bulan depan, di mana dana akan digunakan untuk pembelian tanah, membina kilang dan membangunkan kemudahan pengecasan EV.
Buat masa ini, kereta Chery dan Jaecoo adalah unit CBU yang diimport dari China dan sasaran jualan untuk EV Omoda C5 (Chery Omoda E5 di Malaysia) dan PHEV Jaecoo 7 (Jaecoo J7 akan dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi tetapi sebagai model ICE) ialah 6,000 unit tahun ini. Syarikat ini juga merancang untuk menubuhkan 35 bilik pameran di Thailand, dengan 20 daripadanya akan ditempatkan di ibu kota Bangkok.
Chery juga telah membuat keputusan untuk memulakan operasi CKD di Malaysia, namun kapasiti pengeluarannya adalah terhad kerana berkongsi fasiliti dengan jenama lain di kilang Inokom, Kulim, Kedah. Namun jika permintaan terhadapnya meningkat, adakah Chery Malaysia akan membawa masuk beberapa model dari negara jiran kita itu untuk mengembangkan lagi barisan modelnya di sini?
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.