Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) menggerakkan 200 pegawai dan anggotanya ke 142 lokasi hotspot di sekitar ibu negara sepanjang Ramadan. Menurut Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri, penugasan pegawai dan anggota itu bagi menangani kesesakan lalu lintas pada waktu puncak.
“Saya mengambil kesempatan ini bagi menasihati orang ramai supaya mengawal emosi, bersabar dan jangan ambil tindakan melulu sekiranya berada dalam kesesakan jalan raya. JSPT akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada orang ramai termasuk melancarkan Op Selamat sempena Hari Raya Aidilfitri nanti.
“Ia bagi memudahkan pergerakan balik kampung dengan kerjasama Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) supaya premis atau kediaman yang ditinggalkan dalam keadaan selamat,” katanya ketika turun di lapangan bagi menyantuni pegawai serta anggota trafik dan orang awam di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman semalam, laporan Harian Metro.
Dalam masa yang sama, beliau turut mengingatkan supaya orang ramai tidak membuat halangan trafik dengan meletakkan kenderaan di bahu jalan. Katanya lagi, dianggarkan 1.2 juta kenderaan setiap hari masuk ke ibu negara dan kira-kira 800,000 pada hari minggu sepanjang Ramadan. “Sepanjang bulan Ramadan, JSPT menjangkakan kesesakan kerana ramai pengguna jalan raya mengambil kesempatan pulang awal ke rumah dengan pelepasan diberi majikan,” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.