Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, telah mengumumkan satu inisiatif baharu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) iaitu perkhidmatan pembatalan pendaftaran pemilikan kenderaan motor oleh pemilik berdaftarnya secara atas talian. Sistem ini dinamakan sebagai Sistem Pembatalan Pendaftaran Kenderaan Motor Secara Atas Talian (Online Motor Vehicles De-Registration System) ataupun e-Dereg.
Menurut Kementerian Pengangkutan, melalui sistem ini mana-mana pemilik kenderaan motor yang ingin melupuskan kenderaan tersebut boleh melengkapkan proses pembatalan pendaftaran atas talian sahaja tanpa perlu ke kaunter JPJ.
“Melalui sistem ini pelbagai pihak dapat menangani isu dan masalah daripada lambakan kenderaan terbiar dan buruk di kawasan perumahan melalui cara pelupusan di mana-mana fasiliti Rawatan Automotif Berlesen (AATF) oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“Sebagai permulaaan, sistem ini akan dilaksanakan oleh Car Medic Sdn. Bhd. yang telah mempunyai lesen pengoperasian AATF tersebut. Menteri MOT turut menyeru orang ramai yang ingin membuat proses pembatalan pendaftaran atas talian dan melupuskan kenderaan tersebut boleh berhubung terus dengan syarikat tersebut di Bandar Kajang, Semenyih,” kata MOT menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Memetik laporan Berita Harian pula, Loke berkata, isu lambakan kenderaan lusuh dan terbiar di kawasan perumahan sudah lama membelenggu pihak berkuasa tempatan (PBT) serta penduduk setempat.
“Antara perkara yang menyebabkan pemilik kenderaan tidak berminat menyelesaikan isu kenderaan terbiar adalah kerumitan proses bagi melupuskan kenderaan dengan teratur. Pihak PBT juga menghadapi cabaran yang sama dalam menguruskan kenderaan terbiar berkenaan.
“Mengambil kira perkara ini, sistem e-Dereg akan membolehkan mana-mana pemilik asal yang berhasrat melupuskan kenderaan melengkapkan proses pembatalan pendaftaran secara atas talian, tanpa perlu hadir di kaunter JPJ lagi,” katanya.
Tambahnya, setakat ini, JAS sudah mengeluarkan lesen kepada 10 syarikat untuk beroperasi sebagai AATF namun buat masa ini hanya dua AATF sudah beroperasi sepenuhnya termasuk Car Medic selain Jaring Metal Industries Sdn Bhd di Shah Alam.
Katanya, sebagai permulaan, sistem e-Dereg yang dibangunkan dengan kerjasama syarikat penyedia perkhidmatan E-Auto Sdn Bhd dilaksanakan dengan pihak AATF berlesen iaitu Car Medic Sdn Bhd. Difahamkan, pemilik kenderaan perlu menghubungi Car Medic untuk mengatur temujanji bagi tarikh menunda kenderaan dan pemilik diperlukan hadir ke premis Car Medic untuk proses pembatalan pendaftaran yang menggunakan sistem e-Dereg.
Jelasnya lagi, yuran penundaan kenderaan akan ditanggung oleh Car Medic dan pemilik kenderaan juga akan diberikan token pampasan bergantung kepada kondisi dan model kenderaan serta jarak lokasi tunda. Di mana dengan menggunakan khidmat AATF, pemilik kenderaan akan diberi jaminan bahawa semua proses akan dijalankan mengikut lunas undang-undang.
“Proses pelupusan kenderaan akan dijalankan dengan teratur dan selamat untuk alam sekitar dan pemilik pula akan dijamin bahawa kenderaan mereka dilupuskan dengan cara betul. Ini juga menjamin kenderaan atau komponen yang dilupuskan itu tidak digunakan untuk kegiatan jenayah atau digunakan semula dengan cara yang salah. Ini kerana kedai besi buruk atau kedai potong tidak ada sistem untuk menyah-daftar kenderaan,” katanya.
Anthony berkata, selain pemilik asal berdaftar, PBT juga boleh mengadakan program pemutihan dan pengurusan kenderaan terbiar dalam kawasan tanggungjawab masing-masing menggunakan sistem ini. Walau bagaimana pun, program tersebut masih perlu membabitkan pemilik berdaftar asal bagi tujuan pembatalan kenderaan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.