Seperti mana yang telah dikhabarkan sebelum ini, jenama MG telah pun kembali ke pasaran Malaysia, dan kini dibawa masuk oleh SAIC Motor Malaysia. Baru-baru ini, syarikat ini juga telah mempamerkan model MG4 dengan varian biasa dan XPower, serta MG ZS EV di khalayak ramai. Malahan, kedua-dua model tersebut juga telah dibuka tempahan sejak akhir bulan lalu.
Terkini, MG Motor Malaysia yang berada di bawah naungan SAIC telah pun mengumumkan acara pelancaran rasmi bagi model MG akan disiarkan secara langsung menerusi Facebook rasminya pada 27 Mac ini mulai jam 10.30 pagi.
Sementara itu, harga jangkaan telah diumumkan iaitu ZS EV dijangka sekitar RM129k, manakala MG4 pula bermula dari RM104k untuk varian Standard, RM129k untuk Lux, RM149k bagi Lux Extended Range, dan RM159k untuk model tertinggi XPower.
MG ZS EV 2024 ditawarkan dengan satu spesifikasi sahaja, masih mengekalkan sistem mekanikal yang sama, sebagaimana model facelift terdahulu. Ia menawarkan kuasa hingga 176 PS (130 kW) dan tork 280 Nm. Motor elektriknya dijanakan oleh bateri lilthium-ion 51.1 kWh, yang membolehnya dipacu hingga 320 km dengan pengecasan tunggal, mengikut kitaran WLTP. Daripada aspek prestasi, kereta seberat 1,610 kg ini boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 8 saat dan mencecah kelajuan maksimum 174 km/j.
Bagi MG4 EV pula, bermula dengan varian Standard ia diberikan motor tunggal dengan kuasa 125 PS (170 kW) dan tork 250 Nm, membolehkannya memecut 0-100 km/j dalam masa 7.5 saat. Dengan menggunakan bateri lithium iron phosphate 51 kWh, ia boleh memberikan jarak gerak sehingga 350 km mengikut WLTP.
Manakala untuk Lux pula, ia tampil dengan kuasa 150 PS (203 kW) dan tork yang sama dengan Standard, namun bagi pecutan 0-100 km/j mencecah 7.7 saat. Ia digandingkan dengan bateri lithium iron phosphate 64 kWh membolehkannya mencapai jarak gerak hingga 430 km mengikut WLTP.
Untuk varian Lux Extended pula, ia mampu menghamburkan kuasa hingga 180 PS (245 kW) dan tork 350 Nm, dan pecutan dari 0-100 km/j mampu dicapai pada 6.1 saat. Dengan bateri lithium iron phosphate 77 kWh, ia mampu memberikan jarak gerak hingga 520 km mengikut WLTP. Ketiga-tiga varian ini dipacukan sistem roda belakang (RWD).
Bagi varian paling padu pula, X-Power yang merupakan jentera pacuan semua-roda (AWD), diberikan padanan dwi-motor, sekaligus memberikannya ledakan kuasa cecah 435 PS dan tork 600 Nm. Walau bagaimana pun, ia dijanakan oleh bateri lithium iron phosphate berkapasiti 64 kWh dan memberikannya jarak gerak 384 km.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.