Mulai tahun hadapan, Puspakom tidak lagi menjadi satu-satunya pihak yang menawarkan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan, menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke. Beliau juga telah mendedahkan garis panduan terkini yang perlu dipatuhi oleh penyedia perkhidmatan pemeriksaan kenderaan, laporan The Star.
Kata Loke, setiap penyedia perkhidmatan pemeriksaan kenderaan pada mulanya akan dibenarkan untuk beroperasi di dua lokasi, iaitu satu di kawasan bandar dan satu di kawasan luar bandar. Penyedia perkhidmatan itu kemudiannya dikehendaki membangun dan mengendalikan kedua-dua lokasi pada masa yang sama, dengan senarai lokasi akan disediakan pada sesi perundingan pihak berkepentingan pada 23 April ini.
“Dengan ini, matlamat akhirnya adalah untuk memastikan setiap negeri dan sesuatu kawasan mempunyai sekurang-kurangnya satu VISP untuk memberi perkhidmatan kepada masyarakat bandar dan luar bandar,” kata Loke sambil menambah penyedia perkhidmatan pemeriksaan kenderaan perlu mempunyai sekurang-kurangnya RM10 juta modal berbayar dan RM5 juta modal kerja bagi memastikan kemampanan perniagaan.
Apabila diluluskan, penyedia perkhidmatan yang berkelayakan akan diberi kelulusan sementara sehingga 24 bulan, dan pada masa itu kawasan syarikat perlu dibangunkan sepenuhnya dan menubuhkan pusat pemeriksaan di lokasi yang ditentukan untuk beroperasi, kata Loke.
“Mana-mana pihak yang didapati gagal menyelesaikan semua proses penyediaan dalam tempoh masa ini akan dibatalkan kelulusan sementara dan tidak akan diberikan lesen. Manakala mereka yang berjaya akan diberikan lesen untuk menjalankan pemeriksaan kenderaan… untuk tempoh maksimum sehingga 10 tahun, dengan keupayaan untuk meneruskan untuk tempoh lain yang akan ditentukan kemudian,” tambahnya.
Bagaimanapun, penyedia perkhidmatan pemeriksaan kenderaan tidak akan dibenarkan menawarkan perkhidmatan pembaikan atau pengubahsuaian, penjualan alat ganti atau kenderaan, atau sebarang transaksi yang berkaitan dengan perkhidmatan ini, kata Loke lagi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.