Antara kereta menarik yang dipamerkan di Bangok International Motor Show (BIMS) 2024 adalah BYD Yangwang U9, iaitu kereta elektrik pertama daripada jenama tersebut. Baru sahaja mula dijual di China Februari lalu, sekarang ia sudah sampai di Thailand untuk tontonan ramai.
Harga kereta ini tidak murah, iaitu 1,680,000 yuan (RM1.1 juta) di China, tetapi ada sebab ia jadi sebegitu. Pertama sekali adalah prestasi. Ia menggunakan empat motor (satu untuk setiap roda) dan mampu menghasilkan kuasa keseluruhan 1,306 PS (960 kW) dan tork 1,680 Nm. Pecutan 0-100 km/j dapat dilakukan dalam cuma 2.36 saat, manakal laju maksimum adalah 309 km/j.
Bukan setakat itu, U9 juga adalah kereta China pertama yang menggunakan casis monocoque gentian karbon, serta suspensi aktif DiSus-X yang dikatakan dibangunkan sendiri oleh BYD dalam syarikatnya. Ia menggunakan kamera untuk mengimbas jalan, dan kemudian mengawal pergerakan badan kenderaan dengan motor elektrik.
Tetapan ini juga membolehkan U9 membuat aksi unik seperti “menari”, bergerak menggunakan tiga roda dan melompat setempat. Selain daripada itu, ia juga boleh pusing setempat 360 darjah atau dipanggil tank-turn.
U9 menggunakan bateri lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 80 kWh dan dikatakan boleh bergerak sehingga 450 km sekali cas penuh. Ia boleh menerima pengecasan pantas DC sehingga 500 kW melalui dua soket pengecas yang terdapat di bahagian tepi kereta, dan baterinya boleh naik 10-80% dalam masa cuma 10 minit. Apabila menggunakan AC 7 kW pula ia memerlukan masa tujuh jam untuk naik ke tahap sama.
Penampilan kereta ini memang menarik dengan banyak ciri berkonsepkan prestasi serta pintu yang dibuka ke atas. Model standard datang terus dengan spoiler serta diffuser aktif, manakala rim pula bersaiz 21 inci dengan tayar Pirelli P Zero 275/35 di hadapan dan 325/30 di belakang. Di sebaliknya anda dapat melihat cakera brek seramik dengan angkup enam piston di hadapan dan empat piston di belakang.
Di dalam terdapat papan pemuka berlekuk yang dibuat bagi memberi rasa seperti dalam kokpit, bersama lampu suasana 127 warna. Di hadapan pemandu terdapat panel instrumen digital mini-LED 10.25 inci, manakala satu lagi skrin 12.3 inci diletakkan di tengah untuk kawalan infotainmen. Sistem bunyi menggunakan 12 pembesar suara daripada Dynaudio Evidence Platinum.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.