Kerajaan menerusi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mensasarkan untuk memulakan operasi bagi projek Mobile Hydrogen Refueling System (MHRS) sebelum akhir tahun ini di Putrajaya.
Menurut Menterinya, Chang Lih Kang, susulan kepada pemeteraian dokumen kerjasama MHRS di antara rakan industri tempatan dengan sokongan kementeriannya pada Julai 2023, MOSTI telah mengorak langkah awalan melalui kerjasama dengan UMW Toyota Motor Sdn Bhd dalam mengetengahkan potensi mobiliti hidrogen, khususnya di Semenanjung Malaysia.
Beliau berkata demikian dalam majlis Demonstrasi Penggunaan Mobile Hydrogen Refueling Unit (MHRU) dan Toyota Mirai di Kompleks C, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, pagi tadi. Majlis ini telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang turut diberikan taklimat ringkas mengenai teknologi hidrogen. Malahan beliau juga dihantar kembali ke pejabatnya dengan menaiki Mirai berkuasa hidrogen tersebut.
“Acara ini bertujuan untuk mempromosi dan memberikan peluang kepada orang awam untuk melihat sendiri kemudahan mobiliti hidrogen yang tersedia ini. Ia juga menunjukkan bahawa teknologi ini sudah matang…kereta sudah ada… sudah bersedia untuk membekalkan dan memenuhi permintaan.
“Ia juga menunjukkan komitmen kerajaan dalam memberikan penekanan terhadap betapa pentingnya penggunaan tenaga yang bersih. Terima kasih kepada Toyota di atas kerjasama ini. Saya berharap dengan adanya sesi ini, ia juga dapat meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat berhubung penggunaan hidrogen. Saya juga mengalu-alukan kerjasama pihak swasta termasuk Toyota untuk membantu negara kita untuk memperkukuhkan lagi penggunaan hidrogen termasuk membekalkan dan membangunkan fasiliti yang diperlukan,” katanya.
MHRS merupakan teknologi pengisian semula hidrogen ke dalam kenderaan dengan hidrogen menggantikan bahan api fosil. MHRS juga bersifat mudah-alih yang membolehkannya dipindahkan ke lokasi yang berbeza mengikut keperluan semasa.
Dalam sesi demostrasi ini, Toyota Mirai iaitu kenderaan jenis elektrik sel bahan api (Fuel Cell Electric Vehicle – FCEV) turut dipamerkan. Model ini menjana elektrik menggunakan hidrogen untuk pemacuan kenderaan, dengan air sebagai hasil sampingan tanpa sebarang pelepasan karbon. ‘Mirai’ adalah perkataan Jepun yang bermaksud ‘masa depan’ dan Toyota Mirai generasi kedua ini mempamerkan inisiatif konsisten pihak syarikat dalam memacu teknologi FCEV untuk mencapai sasaran penyahkarbonan mobiliti.
Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dalam pembangunan sosio- ekonomi negara terutamanya rukun kemampanan dan daya cipta, pelaksanaan MHRU dan MHRS adalah sebahagian daripada pelan tindakan yang telah direncanakan melalui HETR untuk pembangunan kapasiti dan pelaburan modal insan di sepanjang rantaian nilai ekonomi hidrogen, khususnya mobilit rendah karbon.
Usaha ini juga adalah selaras dengan sasaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Dasar Tenaga Negara 2022-2040 (DTN) dan aspirasi Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030 (LCMB).
“MOSTI kekal komited untuk menjadikan Malaysia di kalangan negara ekonomi terkemuka dunia melalui pemacuan teknologi dan mencapai sasaran penyahkarbonan global menjelang tahun 2050,” kata Chang lagi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.