Bagi menangkap pesalah trafik yang memecut melebihi had laju untuk ‘mengejar lampu merah’ di persimpangan berlampu isyarat, kerajaan Singapura kini sudahpun memasang sistem perangkap had laju pada kamera lampu merah dan ia kini sedang dihidupkan secara ‘berperingkat’ mulai 1 April, lapor Berita Mediacorp.
Menurut pihak Polis di republik berkenaan pada Sabtu lalu, fungsi penguatkuasaan kelajuan pada kamera lampu merah itu dihidupkan ‘untuk memperbaiki tingkah laku para pemandu’ setelah jumlah kemalangan maut berkaitan perbuatan memecut naik lebih 83.3 peratus tahun lalu berbanding 2022, dan purata kemalangan maut akibat perbuatan memecut juga meningkat kepada 25.2 peratus pada 2023 daripada 17.3 peratus pada 2022.
Kamera lampu merah yang mampu mengesan pemandu yang memecut itu dihidupkan di seluruh Singapura secara “progresif dan dinamik” mulai hari ini, di mana lokasi yang lebih terdedah kepada kemalangan dan pemandu sering melanggar lampu merah akan diutamakan.
Kamera lampu merah tersebut dicat warna jingga dan putih supaya dapat dilihat dengan jelas, dan papan tanda amaran yang tertera had laju juga akan diletakkan sebelum setiap zon penguatkuasaan kamera trafik. Berita ini turut melaporkan bahawa setakat Disember lalu, sebanyak 252 kamera lampu merah diletakkan di seluruh Singapura.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.