Selepas lima tahun membuat pengenalan sulung global, akhirnya model generasi baharu bagi Toyota Hiace bakal dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi, manakala tempahannya juga kini sudah dibuka secara rasmi oleh UMW Toyota Motor.
Bagi model pasaran Malaysia ini, Hiace generasi baharu berkenaan datang dalam varian Super Long Wheelbase (SLWB) Window Van. Ini bermakna ia adalah dari varian yang boleh membawa penumpang dengan dilengkapi tempat duduk serta cermin tingkap pada kabin belakang, serta tampil dengan jarak roda yang sangat jauh iaitu 3,860 mm.
Hiace SLWB ini menampilkan panjang keseluruhan 5,915 mm bersama lebar 1,950 mm serta tinggi 2,280 mm. Ini membolehkan van ini dilengkapi dengan 10-tempat duduk, dan menurut Toyota dengan saiz yang lebih besar ia turut “memberikan keselesaan penumpang dan kargo dalam perjalanan jauh serta memberikan kestabilan dan dinamik pemanduan lebih baik”.
Berbanding model-model sebelumnya, Hiace baharu ini buat pertama kali mula menampilkan rupa yang mempunyai muka yang terkeluar seperti pesaing-pesaing lain misalnya Ford Transit dan Mercedes-Benz V-Class. Bahagian hadapan van ini diberikan suspensi jenis Topang McPherson, manakala di belakang pula spring jenis dedaun.
Model pasaran Malaysia ini menerima enjin turbodiesel 1GD-FTV 2.8 liter berkuasa 177 PS dan tork maksima 450 Nm, digandingkan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan yang diberikan fungsi tukaran manual. Dengan saiz yang begitu besar dan panjang, van ini menampilkan radius pusingan 6.4 meter.
Selain itu ia turut menerima perincian lain seperti lampu nyalaan LED, lampu hadapan reflektor halogen, lampu kabus halogen hadapan dan belakang, gril kemasan krom, cermin sisi lipatan dan larasan elektrik dengan sudut lebih lebar dan rim besi 16-inci dengan penutup plastik.
Pada bahagian dalaman, Hiace SLWB ini menerima cermin tingkap hadapan berkuasa, ruang simpanan atas kepada pada kabin hadapan, paparan meter analog dengan skrin pelbagai informasi, skrin Display Audio 7-inci, sistem penghawa dingin dengan kawalan berasingan untuk kabin belakang, lampu pada pemijak kaki pada pintu gelangsar belakang, serta tag RFID bina dalam.
Untuk keselamatan pula, Hiace SLWB pasaran Malaysia ini dilengkapi dengan tiga-beg udara, bantuan mula mendaki, kawalan kestabilan elektronik dengan sistem traction control, isyarat berhenti kecemasan, laluan keluar kecemasan, filem penapis solar dan keselamatan premium dan kamera perakam digital bina dalam untuk bahagian hadapan.
“Kami telah menerima banyak permintaan daripada rakan kongsi perniagaan kami yang tidak sabar menanti kehadiran Hiace baharu. Sebagai salah satu van komersial terkemuka di Malaysia, Hiace sentiasa mewujudkan komitmen kami terhadap kecemerlangan. Dengan pengenalan model Super Long Wheelbase, kami berbesar hati untuk menawarkan pelanggan kami kenderaan yang bukan sahaja memenuhi tetapi melebihi jangkaan mereka dari segi ruang, kuasa dan keselesaan,” kata presiden UMWT, Datuk Ravindran K.
Toyota Hiace SLWB Window Van akan dijual pada harga bermula RM169,000, namun tarikh pelancaran sebenarnya masih belum diumumkan. Jadi anda perlu terus bersama kami untuk berita-berita terkini berkenaan model ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.