Petronas bakal bantu bangunkan semula Litar Pasir Gudang impak dari TMJ dan JDT Racing Team

Petronas bakal bantu bangunkan semula Litar Pasir Gudang impak dari TMJ dan JDT Racing Team

Syarikat pengeluar petroleum nasional, Petronas bakal menjalinkan kerjasama menyeluruh dengan Johor Darul Takzim (JDT) Racing Team, bukan hanya melibatkan jentera perlumbaan tetapi akan menjadi penajaan di skala yang lebih besar termasuk membangunkan semula Litar Pasir Gudang yang terletak di Johor.

Menurut Prinsipal Pasukan JDT Racing Team Steven Tan dalam laporan Flash Sukan, Petronas berminat dengan kerjasama tersebut kerana yakin dengan impak yang dibawa oleh pasukannya dan juga pemilik pasukan itu iaitu Pemangku Sultan Johor, DYAM Tunku Mahkota Ismail.

“Memang benar saya sudah membawa Petronas untuk menghadap Pemangku Sultan Johor dan semuanya baik serta pihak kami sedang dalam proses melengkapkan kertas kerja untuk mendapatkan kelulusan daripada ahli lembaga pengarah mereka.

“Mereka berminat untuk menaja dan menjalin kerjasama dengan JDT Racing Team dan mereka juga kini sedar nilai pasukan ini terutama selepas melihat penglibatan Tunku Ismail secara langsung dalam projek ini yang boleh saya gambarkan sebagai impak jenama Tunku dan JDT itu sendiri,” katanya.

Steven turut menegsahkan bahawa kerjasama berkenaan turut melibatkan pembangunan semula Litar Pasir Gudang yang bakal menjadi hab permotoran serta pencarian bakat menerusi akademi JDT Racing Team.

Petronas bakal bantu bangunkan semula Litar Pasir Gudang impak dari TMJ dan JDT Racing Team

“Kerjasama ini turut akan melibatkan pembangunan semula Litar Pasir Gudang dan juga akademi permotoran JDT sekali gus bakal melihat Tunku Mahkota Ismail sekali lagi mencipta sejarah kali ini dalam sukan permotoran dua roda pula,” jelasnya.

Litar Pasir Gudang merupakan litar ikonik yang pernah melahirkan ramai pelumba antarabangsa di kalangan anak jati Johor. Ia juga pernah menganjurkan perlumbaan yang menarik penyertaan pelumba luar seperti Johor Race Series, Asia Festival of Speed (AFOS) serta pernah menjadi menganjurkan Grand Prix Motosikal Dunia pada tahun 1998.

Litar berkenaan dikhabarkan hanya akan ditutup sementara pada 2016 untuk kerja-kerja naik taraf, namun ia terbiar selepas itu tanpa tanda-tanda bakal dibuka semula.

Laporan berita bulan lalu menyatakan bahawa kerajaan Johor sememangnya berminat untuk membangunkan semula litar berkenaan. Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Mohd Hairi Mad Shah mengesahkan bahawa beliau bersama Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi akan menghadap Tunku Mahkota Ismail dalam masa terdekat bagi mempersembahkan perancangan untuk membuka semula litar itu.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required