Sejak kebelakangan ini, banyak cerita-cerita berkenaan pembukaan semula Johor Circuit atau turut dikenali sebagai Litar Pasir Gudang mula bertiup. Bagi memberikan gambaran lebih jelas berkenaan perkara itu, Tunku Temenggong Johor, Yang Amat Mulia Tunku Idris Iskandar Ismail Abdul Rahman ibni Sultan Ibrahim telah menaikkan satu hantaran menerusi akaun instagram miliknya berhubung status litar berkenaan.
“Banyak khabar angin dan berita kebelakangan ini berkenaan Trek Pasir Gudang/Johor Circuit baru-baru ini jadi saya rasa saya perlu menjelaskan beberapa perkara. Saya telah mengusahakan projek ini secara senyap selama 8 tahun dan tiba-tiba saya melihat ada orang yang cuba menjadi penyelamat kepada litar tersebut. Sila buat kajian anda sebelum membuat kenyataan bodoh. Di manakah anda semua ketika litar ini runtuh sedekad yang lalu? Trek ini adalah untuk Johor Racing (JMR), JDT Racing dan yang paling penting untuk rakyat. Jadi tolonglah. Izinkan saya menyelesaikan ini dengan aman di bawah bimbingan ayah dan abang saya serta kerajaannya,” tulis Tunku Idris dalam hantaran tersebut.
Dalam hantaran yang sama Tunku Idris turut berkongsi satu lakaran litar berkenaan, yang mungkin lakaran untuk litar yang akan dibangunkan semula tersebut.
Buat masa sekarang Tunku Idris terlibat dengan pengurusan pasukan lumba Johor Racing yang berlumba dalam pelbagai siri perlumbaan antarabangsa seperti Asian LeMans Series dan Intercontinental GT Challenge, di mana adiknya Yang Mulia Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor (TPJ) merupakan salah seorang pelumba pasukan itu.
Manakala abangnya, Pemangku Sultan Johor, DYAM Tunku Mahkota Ismail selain sibuk dengan pasukan bola sepak Johor Darul Takzim (JDT), baginda turut sudah melancarkan pasukan lumba dua roda JDT Racing Team yang menampilkan pelumba negara Hafizh Syahrin. Pasukan itu sudahpun memulakan kempennya dalam siri perlumbaan Asia Road Racing Championship dengan hasrat untuk bersaing dalam perlumbaan Superbike World Championship pada masa hadapan.
Baru-baru ini Prinsipal Pasukan JDT Racing Team Steven Tan sudahpun mengesahkan bahawa Petronas berminat bekerjasama dengan JDT Racing Team bukan hanya melibatkan jentera perlumbaan tetapi akan menjadi penajaan di skala yang lebih besar termasuk membangunkan semula Litar Pasir Gudang yang bakal menjadi hab permotoran serta pencarian bakat menerusi akademi JDT Racing Team.
Litar berkenaan dikhabarkan hanya akan ditutup sementara pada 2016 untuk kerja-kerja naik taraf, namun ia terbiar selepas itu tanpa tanda-tanda bakal dibuka semula.
Laporan berita bulan lalu menyatakan bahawa kerajaan Johor sememangnya berminat untuk membangunkan semula litar berkenaan. Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Mohd Hairi Mad Shah mengesahkan bahawa beliau bersama Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi akan menghadap Tunku Mahkota Ismail dalam masa terdekat bagi mempersembahkan perancangan untuk membuka semula litar itu.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.