Bas ekspres yang melakukan perjalanan sejauh lebih 300 km diwajibkan mempunyai pemandu kedua demi keselamatan penumpang. Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang Zulkifly Ismail berkata syarat ini juga terpakai bagi perjalanan melebihi empat jam untuk memastikan pemandu bas mendapat rehat yang cukup sekaligus mengurangkan risiko kemalangan terutama yang membawa maut, laporan The Star.
“Perjalanan jauh melebihi 300 km memerlukan pemandu kedua, tak boleh seorang (pemandu), tetapi banyak pengusaha syarikat bas yang gagal untuk menyediakannya. Alasan yang sering diberikan, pemandu kedua akan naik di terminal yang seterusnya untuk menggantikan pemandu pertama, bagaimanapun peraturan menetapkan bahawa dua pemandu diperlukan semasa memulakan perjalanan,” katanya.
Tambah beliau, kegagalan menyediakan pemandu kedua adalah satu kesalahan dan mana-mana syarikat yang didapati ingkar, tindakan akan diambil dengan melarang mereka daripada memulakan perjalanan sehingga peraturan itu dipatuhi.
Beliau berkata demikian selepas melakukan pemeriksaan bas ekspres pada Op Khas Perayaan Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2024 di Terminal Bas Penang Sentral, malam tadi. Operasi berkenaan sedang dilaksanakan sehingga 20 April ini.
Selain bas ekspres, operasi itu menyasarkan kesalahan yang biasa dilakukan oleh pengguna jalan raya, termasuk memandu laju, lampu merah menyala dan pertukaran lorong yang tidak betul. “Secara keseluruhan, sebanyak 4,553 kenderaan telah diperiksa dan 1,377 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, dengan tindakan diambil terhadap 790 kenderaan, 37 daripadanya telah dirampas,” kata Zulkifly.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.