Bermula malam ini mungkin ramai yang bakal memandu pulang ke kampung halaman untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri. Kebanyakan lebuhraya utama juga dijangkakan bakal mengalami kesesakan lalu lintas ‘luar biasa’ kerana jumlah trafik yang berlipat kali ganda. Jadi, anda juga digalakkan untuk menggunakan laluan alternatif sekiranya ada.
Bagi yang mahu pulang ke Kelantan, Jabatan Kerja Raya (JKR) menyarankan perantau agar menggunakan laluan FT04 iaitu Jalan Gua Musang-Jeli sebagai laluan penyuraian trafik pada musim perayaan ini. Menurut Pengarah JKR negeri, Mohd Suhaili Ismail, pemandu yang menghala ke Rantau Panjang, Tanah Merah, Pasir Mas dan Tumpat, dinasihatkan agar menggunakan laluan terbabit bagi menampung jangkaan pertambahan mendadak kenderaan yang memasuki negeri ini melalui jalan Gua Musang-Kuala Lipis bermula hari ini, laporan Bernama.
Katanya, langkah berkenaan merupakan inisiatif mitigasi daripada JKR dalam mengurangkan kesesakan jalan raya di pintu masuk utama Kelantan.
“Kebiasaannya pengguna jalan raya akan tertumpu kepada laluan Gua Musang-Kuala Krai (FT08), jadi kita minta kerjasama perantau untuk menukar laluan menggunakan jalan Gua Musang-Jeli (FT04). Beberapa papan tanda akan diletakkan untuk memaklumkan perantau supaya menggunakan laluan ini. Dengan ini, kita dapat mengurangkan jarak kesesakan jalan Gua Musang-Kuala Krai,” katanya.
Beliau turut berkata, pihaknya akan mula membuka laluan sempit di Bulatan Tanah Putih menghala ke Taman Wangi serta bandar Gua Musang.
“Laluan itu pada awalnya disempitkan bagi mengelakkan dimasuki kenderaan berat, namun bermula 6 April ini, kita akan melebarkannya semula sebagai persediaan menerima kemasukan kenderaan perantau yang dijangka mula pulang beraya bermula Jumaat (hari ini) ini.
“Kita juga minta kerjasama penuh daripada Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang sekiranya perlu menempatkan anggota secara statik terutamanya di laluan sempit di sempadan Merapoh, Pahang dan Kampung Mentara, Gua Musang memandangkan lokasi tersebut kerap berlaku trafik yang tidak terkawal seperti berebut dan potong barisan,” katanya.
Tambahnya, JKR juga mengekalkan laluan dua hala dari Bulatan Tanah Putih menghala ke Taman Wangi sepanjang cuti perayaan ini.
“Sekiranya berlaku kesesakan melampau, kita akan mengumumkan makluman berkenaan perubahan kelak. JKR akan mengambil tindakan dari semasa ke semasa bergantung kepada situasi semasa termasuklah menggunakan semula jalan alternatif seperti tahun sebelumnya,” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.