Menerusi Op Selamat 22 sempena Aidilfitri ini, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) memantau 122 lokasi berlaku kekerapan kemalangan terutamanya membabitkan kemalangan maut di seluruh negara.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri, jumlah yang direkodkan oleh pihak konsesi lebuh raya pada Jumaat lalu yang menggunakan Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) adalah 2.12 juta kenderaan manakala Lebuh Raya Karak adalah hampir 300,000 buah kenderaan, laporan Harian Metro.
Jelasnya, terdapat 122 lokasi kekerapan kes kemalangan terutama kemalangan maut yang dipantau oleh JSPT iaitu 46 lokasi di lebuh raya, manakala 76 lokasi membabitkan jalan persekutuan.
“JSPT ingin menasihatkan semua pengguna jalan raya merancang dahulu pergerakan pulang ke kampung halaman terutama perjalanan yang jauh. Jika perjalanan biasa sepatutnya tiga jam tetapi bertambah dari masa perjalanan biasa, maka perancangan semula perlu dibuat seperti ubah waktu pergerakan atau mengenal pasti lokasi yang perlu berhenti untuk berehat jika perlu menempuh perjalanan melebihi masa perjalanan biasa,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau menasihati pengguna supaya sentiasa bekerjasama, berhemah, berhati-hati dan fokus kepada pemanduan.
“Semua pengguna jalan raya mesti bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan semasa berada di dalam pergerakan lalu lintas tanpa mengira di mana jua. Jalan raya bukan tempat untuk mengejar masa atau menunjukkan kehebatan pemanduan tetapi satu medium penting untuk perhubungan dari satu lokasi ke lokasi yang lain,” katanya.
Jumaat lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain telah melancarkan Op Selamat Siri 22 yang dilaksanakan mulai 8 hingga 13 April 2024 di seluruh negara.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.