Pengedar kenderaan smart di Malaysia dan Thailand, iaitu Pro-Net telah menerima pembiayaan sebanyak RM200 juta daripada CIMB Bank untuk membiayai inisiatif mobiliti hijau, import serta pengedaran EV smart #1 di Malaysia.
Syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Proton tersebut juga memberitahu bahawa mereka kini bersedia untuk memenuhi komitmen terhadap agenda EV yang ditetapkan dan memainkan peranan penting sambil mengetuai peralihan ke arah pengeluaran Kenderaan Tenaga Baru (NEV, terma untuk kenderaan elektrik di China), serta pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automotif di Tanjung Malim.
“Kami akan memanfaatkan pembiayaan ini untuk meningkatkan ekosistem digital serta rantaian bekalan dalam infrastruktur EV dan mengembangkan rangkaian kami untuk pengalaman runcit yang lebih lancar. Ia juga akan memudahkan, sewaktu permintaan kenderaan elektrik sedang meningkat, dan selari dengan objektif neutraliti karbon Malaysia,” kata ahli lembaga pengarah Pro-Net, Roslan Abdullah.
Sementara itu, ketua pegawai eksekutif bersama perbankan borong kumpulan CIMB Group, Novan Amirudin pula berkata bahawa urus niaga ini menekankan komitmen CIMB dalam menyokong pelanggan di pelbagai industri untuk memajukan agenda ESG mereka dan menyumbang kepada impak positif melalui penyelesaian kewangan yang mampan.
“Langkah ini selari dengan aspirasi CIMB Group untuk menjadi bank utama di ASEAN dan menjadi peneraju dalam kelestarian di rantau ini, seperti yang dinyatakan dalam pelan strategik Forward23+ kami,” tambah beliau.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.