Bagi menyuraikan trafik dibeberapa kawasan yang diketahui akan sesak ketika waktu puncak, pengendali Lebuhraya Utara Selatan iaitu PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telahpun mewujudkan Smart Lane, iaitu lorong kecemasan yang diubah kepada lorong boleh digunakan oleh kenderaan persendirian dan penumpang. Dan ketika musim perayaan, bilangan Smart Lane ini turut ditambah untuk kemudahan pengguna lebuhraya tersebut.
Namun ada beberapa masalah yang berlaku ketika Smart Lane ini dibuka untuk digunakan, antaranya ada yang tidak tahu bila ia diaktifkan atau bagaimana untuk menggunakannya. Untuk memudahkan persoalan ini dijawab, PLUS sudahpun menyiarkan satu video panduan lengkap bagi menggunakan laluan tersebut.
Menurut video yang disiarkan itu, kini PLUS telah membuat beberapa pembaharuan pada Smart Lane bagi lebih memudahkan ia digunakan. Antaranya, kini PLUS sudahpun menyediakan papan tanda mudah alih (MPVMS) pada setiap permulaan laluan Smart Lane.
Malah pada papan tanda mula kekal Smart Lane yang sudah pun tersedia sebelum ini telah ditambah dengan lampu isyarat hijau di atasnya. Sekiranya anda melihat lampu isyarat hijau tersebut berkelip, itu bermakna Smart Lane sudah pun diaktifkan dan boleh digunakan. Papan tanda kekal tersebut kini dipasang setiap 500 meter di sepanjang laluan tersebut sehingga tamat.
PLUS juga sudah menyediakan papan tanda pemberitahuan bahawa ada laluan Smart Lane di hadapan dalam jarak 1 km dan 500 meter sebelum sampai ke laluan tersebut. Sekiranya anda nampak MPVMS sudahpun memberikan isyarat Smart Lane diaktifkan bersama lampu hijau sudah berkelip, anda sudah boleh masuk ke laluan lorong kecemasan yang diubah kepada Smart Lane tersebut.
Walaubagaimana pun, anda masih perlu berhati-hati untuk menggunakan Smart Lane ini bagi memastikan keselamatan kesemua pengguna jalan raya yang lain. Sebelum menukar lorong, seperti biasa anda perlu menggunakan lampu isyarat membelok terlebih dahulu. Apabila persekitaran selamat, barulah anda masuk ke laluan Smart Lane tersebut.
Ketika menggunakan laluan Smart Lane ini, PLUS menyarankan anda perlu memandu pada kelajuan yang sesuai iaitu tidak melebihi 60 km/j sahaja. Anda turut dinasihatkan untuk sentiasa peka dengan keadaan sekeliling (mengawasi kehadiran penunggang motosikal misalnya) dan terus menjaga jarak dengan kenderaan di hadapan ketika menggunakan laluan ini.
Papan tanda amaran sebelum dan tiba di titik Smart Lane tamat juga disediakan, dan anda perlu masuk semula ke lorong utama selepas laluan tersebut tamat.
Untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, PLUS akan mengaktifkan sebanyak 18 laluan Smart Lane, dan senarainya adalah seperti berikut:
Jarak laluan SmartLane ini antara 1.7 km ke 13.3 km, dengan yang paling panjang adalah di KM367.3 Arah Utara (Slim River) ke KM354.0 Arah Utara (Sungkai). Jika terdapat sebarang ketidak pastian, anda boleh menghubungi talian bebas tol PLUS di 1800880000.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.