Sebuah bas milik Kolej Vokasional Batu Pahat telah merempuh 11 kenderaan di persimpangan lampu isyarat Jalan Tan Swee Hoe, Jalan Kluang, Batu Pahat, pagi tadi. Difahamkan bas berkenaan mengalami masalah brek, lalu hilang kawalan dan terus merempuh kenderaan yang sedang menunggu lampu isyarat.
Kemalangan itu juga menyebabkan sebahagian besar kenderaan termasuk kereta mewah Mercedes Benz mengalami kerosakan teruk, laporan Berita Harian.
Pemandu bas yang enggan dikenali berkata, dia sudah habis menekan brek bas sebaik tiba di persimpangan lampu isyarat terbabit. Malangnya, disebabkan brek bas mengalami kerosakan, kenderaan dipandu lelaki berusia 50-an itu meluncur dan merempuh beberapa kenderaan lain.
“Bas ini sudah berusia 26 tahun, ada kalanya dihantar untuk selenggara. Sebelum ini, bas ini kerap alami kerosakan walaupun diselenggara,” katanya.
Menurut Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan itu pada jam 10.30 pagi.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku disebabkan sebuah bas dari arah bandar Batu Pahat menghala ke Jalan Kluang, hilang kawalan dipercayai kegagalan brek. Bas itu melanggar 11 kenderaan lain yang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat, namun kemalangan itu hanya membabitkan kerosakan semua kenderaan dan kecederaan ringan.
“Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya.” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.