Tempahan bagi Lotus Emeya EV telah pun mula dibuka untuk pasaran Malaysia, menjelang pelancaran rasminya yang direncana bakal berlangsung pada suku ketiga (Q3) tahun ini. Difahamkan bahawa penghantaran unit yang ditempah oleh pelanggan akan bermula pada suku keempat (Q4) 2024.
Pertama kali ditampilkan di peringkat global pada September lalu di New Yorl, Emeya four-door GT ini turut dipertontonkan dalam acara Bangkok International Motor Show (BIMS) 2024 bulan lalu, di mana ia memulakan jualannya di Thailand dengan menawarkan dua varian iaitu Emeya S dari 5,990,000 baht (RM777,600), dan Emeya R pada 6,890,000 baht (RM895,500).
Di Malaysia, harganya dijangka bermula dari RM650,000 untuk varian asas. Emeya S dilengkapi dengan enjin yang mampu menghamburkan kuasa hingga 612 PS dan tork 710 Nm, membolehkan grand tourer elektrik ini dipecut dari 0-100 km/j dalam 4.15 saat dan kelajuan maksimum cecah 250 km/j. Bagi spesifikasi tertinggi Emeya R yang dijual di Thailand, dengan penjana kuasa 918 PS/985 Nm, ia boleh dipecut dari 0-100 km/j dalam 2.78 saat dan kelajuan maksimum cecah 256 km/j.
Diproduksi di Wuhan, China, Emeya dibina dengan platform Electric Premium Architecture (EPA) oleh Lotus, sama seperti model Eletre, dan turut menggunakan binaan 800-voltan yang sama dengan SUV tersebut.
Mengikut spesifikasi model negara jiran, Emeya diberikan pek bateri 102 kWh, kurang sedikit berbanding Eletre yang diberikan unit 112 kWh. Dengan kapasiti bateri tersebut, Emeya S mampu capai jarak gerak hingga 610 km dalam pengecasan penuh mengikut ujian protokol WLTP, sementara Emeya R pula dengan output motor yang lebih tinggi dan sekadar capai jarak gerak hingga 485 km (WLTP).
Untuk pengecasannya, ia dilengkapi dengan pengecas on-board 22 kW yang mampu capai status 0-100% dalam 5.8 saat, dan jika menggunakan pengecas pantas DC sehingga 350 kW pula, ia mampu capai status 0-100% dalam 18 minit.
Ciri kelengkapan yang ditampilkan termasuklah roda 22-inci dengan balutan tayar 265/35 di hadapan dan 305/30 di belakang, sistem suspensi udara kawalan elektronik (yang sama dengan Eletre), aerodinamik aktif, diffuser belakang aktof dan juga spoiler belakang dwi-lapisan aktif bersama unit selebar 280 mm (100 mm pada Eletre) dan menawarkan daya berat 215 kg bagi downforce.
Untuk bahagian kabinnya, ia diberikan ruang sentral ‘terapung’ skrin LED-penuh OLED, 15 unit pembesar suara atau 23-unit untuk pilihan yang lebih high-end, dengan sistem bunyi sekeliling 3D Dolby Atmos.
GALERI: Lotus Emeya R di BIMS 2024
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.