Tesla telah pun memperkenalkan versi prestasi untuk Model 3 Highland, dan ia secara rasmi digelar sebagai varian Performance, bukan Model 3 Ludricous seperti yang dijangka sebelum ini. Pengguna di Malaysia turut sudah boleh menempah model ini menerusi laman web rasmi Tesla, dan ia disenaraikan dengan harga bermula RM242,000, tidak termasuk bayaran tempahan dan penghantaran.
Tesla Model 3 Performance ini sudah tentu datang dalam konfigurasi dua motor, masing-masing diletakkan pada gandar hadapan dan belakang bagi memberikan kebolehan pacuan semua roda. Unit rangkaian kuasa yang digelar sebagai Performance Drive Unit berkenaan menghasilkan kuasa keseluruhan 460 hp, bagi membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.1 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 262 km/j.
Sebagai perbandingan, varian Model 3 Dual Motor AWD Long Range biasa hanya boleh membuat pecutan yang sama dalam masa 4.4 saat dan mencapai kelajuan maksima 201 km/j. Namun jarak gerak bagi versi Performance ini adalah lebih pendek iaitu 528 km dalam kitaran WLTP berbanding varian Long Range boleh dipandu sejauh 629 km dalam kitaran WLTP dengan satu cas penuh bateri.
Bukan hanya aspek unit rangkaian kuasa sahaja dipertingkat, malah Tesla turut membuat talaan semula pada casis bagi memberikan prestasi pengendalian lebih baik. Ia diberikan suspensi adaptif bersama spring baharu, serta dipadankan dengan set bushing dan bar penstabil lebih sporty, serta sistem brek yang menampilkan cakera dan angkup lebih besar bersama set pad prestasi.
Tesla juga memberikan fungsi Track Mode V3 pada Model 3 Performance ini di mana ia menampilkan pelarasan baharu pada unit rangkaian kuasa dan suspensi adaptif bagi “memberikan anda lebih pengawalan ketika memandu”, dakwa Tesla. Pemandu juga boleh melaras sendiri keseimbangan pengendalian, kawalan kestabilan dan karekter sistem regenerative braking mengikut selera masing-masing.
Dari luar model ini boleh dikenali dengan pengayaan yang nampak lebih garang, menampilkan apron hadapan lebih agresif dengan penambah liang sisi, spoiler bawah bampar, dan juga komponen-komponen gentian karbon seperti diffuser di bawah bampar belakang dan juga spoiler but.
Dengan tetapan suspensi baharu juga membolehkan badan Tesla Model 3 Performance lebih rapat ke permukaan jalan bagi memberikan stance yang lebih gagah, digandingkan bersama set rim aloi forged Warp berdiameter 20-inci.
Sedan sports EV ini datang dengan kabin standard berwarna hitam, tetapi pembeli boleh memilih tema dalaman berwarna putih dengan tambahan RM5,000. Perincian standard lain yang diberikan termasuk tempatan duduk hadapan yang direka seperti kerusi bucket, dan kemasan gentian karbon pada papan pemuka.
Tempahan atas talian untuk Tesla Model 3 Performance ini boleh dibuat dengan bayaran tempahan RM1,000 dan tambahan RM500 diperlukan sebagai bayaran penghantaran. Pelbagai perincian opsyen boleh anda pilih, sudah tentu melibatkan tambahan harga.
Ketika artikel ini ditulis, Tesla Malaysia menyatakan dalam laman web rasmi tersebut bahawa pelanggan yang membuat tempahan bakal menerima kereta masing-masing seawal bermula suku kedua tahun ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.