Model konsep bagi Mazda Arata sedang dipertontonkan dalam penganjuran Beijing Auto Show 2024, bersama dengan EZ-6 yang dibikin hanya untuk pasaran China. Arata concept ini direka dalam bentuk kerangka crossover, dengan penggayaan yang berpotensi menggantikan model semasa CX-5.
Ia diberikan sentuhan bahasa rekaan Kodo yang diperjuangkan oleh Mazda, menerusi tema rekaan “penuh kejiwaan, futuristik dan moden’, menurut Mazda sendiri.
Sebagai sebahagian rancangan pengeluaran kenderaan elektrik (EV) Mazda, jenama ini bakal memproduksikan Arata pada tahun hadapan di China, menurut laporan Japan Times yang memetik kenyaraan CEO Mazda Masahiro Moro. Pengeluaran Arata ini juga direncana bakal ditawarkan dengan dua varian iaitu BEV sepenuhnya dan juga plug-in hybrid (PHEV).
Sebagai rujukan, EZ-6 dilengkapi dengan penjana kuasa elektrik sepenuhnya dengam motor elektrik yang dipasang di belakang dan mampu memberikan output sama ada 218 PS atau 258 PS, mengikut varian, dan puncak tork mampu dicapai pada 320 Nm. Pek bateri bagi EZ-6 antara 58.9 hingga 66.8 kWh, menawarkan jarak gerak antara 530 km dan 610 km mengikut ujian standard CLTC.
Bagi versi penjana kuasa plug-in hybrid untuk EZ-6, yang mungkin turutkan diberikan kepada model produksi Arata, dengan EZ-6 ditampilkan enjin 1.5 liter empat-silinder sebaris petrol dengan bateri sama ada 19 kWh atau 28.4 kWh, dan motor elektrik berkapasiti 218 PS atau 238 PS, dan tork 320 Nm.
EZ-6 juga menawarkan jarak pacu EV antara 135 km hingga 200 km, mod hibrid antara 1,140 km dan 1,200 km, bergantung pada saiz bateri. Versi produksi bagi Arata concept pula dijangka menampilkan angka yang lebih kurang sama, menurut Japan Times.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.