Kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan (MOT) berhasrat untuk melaksanakan projek perkhidmatan KTM Komuter di bandaraya ini bagi mengintegrasikan dengan perkhidmatan Rapid Transit System Link (RTS Link), laporan Bernama.
Menurut Menterinya, Anthony Loke, langkah memperkenalkan KTM Komuter itu adalah satu keperluan bagi menjadikan Stesen RTS Bukit Chagar mudah diakses pengguna yang tinggal di pinggir bandaraya. Perkhidmatan RTS Link dijangka bakal beroperasi sepenuhnya mulai 1 Januari 2027.
Dalam masa yang sama, kerajaan juga berhasrat menjadikan Stesen RTS Bukit Chagar sebagai hab pengangkutan awam bersepadu sekali gus ia dihubungkan pelbagai mod pengangkutan. Selain itu, stesen ini juga menempatkan stesen Projek Landasan Berkembar Sistem Tren Elektrik (ETS) Gemas-JB.
“Perkhidmatan komuter sudah ada di Kuala Lumpur dan utara, di selatan belum ada. Kita (bakal) ada ETS antara Gemas dan Johor Bahru, kita sedang berbincang bagaimana untuk mengintergrasikan (laluan ETS) dengan RTS. Jadi, orang yang tinggal di Senai, Kluang dan Kulai boleh menggunakan perkhidmatan komuter hingga ke Bukit Chagar, kemudian mengambil RTS ke Singapura.
“Apabila landasan ETS antara Gemas dan Johor Bahru siap, kita tidak mahu ia hanya digunakan untuk satu perkhidmatan sahaja, alangkah baiknya jika digunakan untuk komuter sekali. Perkara ini sedang diteliti, kita akan kaji dengan mendalam untuk perkenalkan perkhidmatan ini di Johor Bahru,” katanya.
Menurut Loke, setakat 31 Mac 2024 kerja pembinaan infrastruktur rel RTS Link mencapai 70.45%, manakala pembinaan superstruktur Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bukit Chagar serta penyuraian infrastruktur adalah 7.02%.
“Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) sedang membina kemudahan parkir bertingkat ‘Park ‘N Ride’ yang baharu di Bukit Chagar untuk penumpang RTS Link merangkumi 1,000 ruang tempat letak kenderaan.
“Selain itu, sebanyak 700 ruang tempat letak kenderaan khusus untuk penumpang RTS Link akan disediakan di Coronation Square yang terletak hanya 400 meter dari Bukit Chagar. Ini bermaksud sejumlah 1,700 ruang parkir disediakan untuk penumpang RTS Link kelak,” katanya.
RTS Link adalah projek bernilai RM10 bilion membabitkan sistem LRT moden yang menjangkau 4KM dari Bukit Chagar di Johor Bahru ke Woodlands di Singapura.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.