Selepas tamat tahun kewangan 2023 pada hujung Mac lalu, Japan Times yang memetik sumber dari Bloomberg melaporkan bahawa Toyota telah sekali lagi mencatatkan jualan tertinggi dalam sejarah, dan kali ini buat pertama kali ia berjaya menjual lebih dari 10 juta unit kenderaan setahun.
Laporan itu menyebut berdasarkan data yang disiarkan pada Khamis, jualan global Toyota termasuk dua jenama di bawah naungannya iaitu Daihatsu dan Hino telah berjaya menjual sebanyak 11.1 juta unit kenderaan diseluruh dunia sepanjang tahun fiskal 2023 (Mac 2022-Mac 2023), atau naik sebanyak 5% berbanding tahun sebelumnya.
Akhbar itu menyatakan bahawa kejayaan ini didorong oleh faktor isu bekalan cip semikonduktor yang kini semakin pulih. Ini membolehkan produksi di Amerika Utara, Eropah dan India naik 4.5% kepada 11.2 juta bagi memenuhi permintaan pasaran.
Produksi di Jepun juga mencatatkan angka yang baik diperingkat awal, namun ia terganggu apabila Daihatsu dikesan terpalit dengan skandal penyelewengan ujian keselamatan yang menyaksikan produksinya di negara itu terpaksa dihentikan pada Disember lalu.
Jualan Toyota di China juga naik sebanyak 1.4%, walaupun ia kini disaing hebat oleh jenama tempatan yang sedang meningkat naik khususnya dalam pasaran EV iaitu BYD. Toyota juga dilaporkan telah berjaya menjual sebanyak 116,654 unit EV untuk peringkat global.
Divisi mewah Toyota iaitu Lexus turut mencatatkan peningkatan prestasi di mana jualannya meningkat sebanyak 7.3%, manakala produksinya pula naik sebanyak 9.2%
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.