Proton buka fasiliti R&D baharu di Teluk Hangzhou, China untuk bangunkan model tempatan dan EV

Proton buka fasiliti R&D baharu di Teluk Hangzhou, China untuk bangunkan model tempatan dan EV

Proton hari ini mengumumkan bahawa ia telah membuka fasiliti penyelidikan dan pembangunan (R&D) baharunya yang terletak di Institut Penyelidikan Automobil Geely (GRI) di Teluk Hangzhou, China.

Menurut Proton dalam kenyataan yang dikeluarkan, pembukaan fasiliti tersebut adalah mengambil aspirasi dari kewujudan Teknologi Kenderaan Euro China (CEVT) di Gothenburgh, Sweden, dan ia mampu mendorong pusat R&D Proton di Malaysia bagi menjadi pusat R&D global kumpulan Geely yang keenam dalam rangkaian kumpulan berkenaan.

Dengan pembukaan pusat R&D Proton (China) ini, kebolehan Proton untuk membangunkan sepenuhnya sesebuah kenderaan lengkap akan diperkukuhkan dengan meningkatkan sinergi kecekapan dalamannya dengan sumber dan pengetahuan Geely. Pusat ini juga akan membantu meningkatkan kerjasama rentas sempadan, memudahkan pemindahan pengetahuan antara Proton dan Geely, serta memacu inovasi untuk produk yang sesuai bagi memenuhi keperluan pelanggan Proton.

Pusat berkenaan kini beroperasi dengan kira-kira 50 tenaga kerja yang mengabungkan kepakaran dan pengalaman jurutera dari Malaysia dan China, di mana kesemua mereka akan menjadi rangka kerja untuk latihan dan output bakat antarabangsa Proton dan Geely.

Proton buka fasiliti R&D baharu di Teluk Hangzhou, China untuk bangunkan model tempatan dan EV

Proton menyatakan fasiliti dijangka akan berperanan sebagai ‘tingkap’ untuk pembangunan bersama antara Proton dan Geely untuk semua bidang dengan konsep baharu bermula dengan platform dan badan atas untuk model dengan enjin pembakaran dalaman dan EV akan datang, serta sistem pemanduan pintar dan pengurusan projek. Dalam kenyataan yang sama, Proton ada menyatakan bahawa ia masih akan terus membuat pelaburan terhadap fasiliti R&D miliknya yang terletak di Shah Alam dan Tanjong Malim Malaysia, sambil membangunkan kumpulan modal insan yang berpengalaman.

Pusat ini juga akan menjalankan kerja-kerja menaik taraf model-model sedia ada yang telah dibangunkan oleh Proton sendiri, menggunakan sumber bersama dan bantuan dari Geely, tetapi masih diketuai oleh jurutera R&D Proton di Malaysia. Ia selari dengan apa yang dikatakan oleh CEO Proton, Dr. Li Chunrong sebelum ini yang menyatakan bahawa model generasi baharu untuk Saga, Persona dan Iriz turut akan dibangunkan di sini.

Selain itu, Proton juga menyatakan bahawa pusat ini turut akan berfungsi sebagai platform penghubung yang kritikal untuk Proton melibatkan diri dengan vendor yang berkebolehan untuk pembangunan secara berterusan di Automotive High Tech Valley (AHTV) di Tanjong Malim, Perak, di samping memberi tumpuan kepada bidang kitaran hayat perniagaan penuh seperti kualiti, pemerolehan dan pembuatan.

Proton buka fasiliti R&D baharu di Teluk Hangzhou, China untuk bangunkan model tempatan dan EV

Operasi harian Pusat R&D Proton China ini diselia oleh tiga jabatan penting iaitu Institut Penyelidikan Pusat, Pusat Pembangunan Perisikan Data dan Pusat Pendigitalan R&D. Institut Penyelidikan Pusat bertanggungjawab untuk menyelaraskan sistem R&D bagi kenderaan dan mengukuhkan keupayaan teknologi Proton, sementara Pusat Pembangunan Perisikan Data bertugas untuk pembangunan penyelidikan dan penyampian data besar dan kecerdasan buatan sebelum merangka pelan penggunaan produk.

Manakala Pusat Pendigitalan R&D akan meneroka dan mengurus keperluan pendigitalan sistem R&D dan merumuskan strategi untuk transformasi digital. Proton menyatakan jabatan-jabatan ini akan bekerjasama rapat dengan rakan sejawatan Geely untuk memanfaatkan sumber tempatan di China dan bertanggungjawab ke atas hasil pembangunan pasukan masing-masing.

“Di samping itu, pusat itu juga telah menubuhkan sebuah institut penyelidikan kerjasama luar yang akan bertugas bagi penyampaian fungsi keseluruhan kenderaan dan pembangunan integrasi ekosistem untuk projek luar,” tambah Proton lagi.

Mengulas berkenaan kemudahan terbaharu itu, Dr. Li berkata, “Kami telah mengambil bahagian dalam kelahiran kemudahan ini yang membolehkan kami bekerja lebih erat dengan rakan kongsi kami dan akan memberi inspirasi kepada hubungan masa hadapan sambil membantu meluaskan kehadiran global Proton.”

“Harapan kami dalam pencapaian penting ini adalah untuk membolehkan kami bergerak ke arah matlamat kami untuk menjadi pusat R&D Kumpulan Geely yang keenam, sambil memperkukuh keupayaan sedia ada Proton yang telah sedia ada di Malaysia. Kami tetap teguh dalam komitmen kami untuk menolak sempadan, mencabar status quo, dan membuat kemungkinan tanpa berkesudahan untuk masa depan mobiliti,” tambahnya lagi.

Pusat ini telah dirasmikan oleh Tan Sri Syed Faisal Albar, Pengerusi Proton; Syed Farizal Aminy Syed Mohamad, Konsul Jeneral, Konsulat Jeneral Malaysia, Shanghai; Jerry Gan, Ketua Pegawai Eksekutif Geely Auto Group; Li Chuanhai, Presiden Institut Penyelidikan Automobil Geely; Cai Shijie, Timbalan Pengarah Jawatankuasa Pentadbiran Daerah Baru Teluk Hangzhou; Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Proton dan Dr. Li sendiri.

Pembukaan pusat ini juga dikatakan bertepatan dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara China dan Malaysia.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required