Kia telah mengeluarkan gambar teaser EV6 facelift melalui laman media sosial mereka, yang menampakkan separuh bahagian hadapan dan juga belakangnya. Daripada gambar itu, kita boleh melihat beberapa perubahan kecil yang diberi.
Untuk di hadapan, DRL yang digunakan kini mempunyai bentuk C, mengelilingi lampu utamanya yang terletak lebih rendah. Kemasan tengah yang membahagikan hud dengan bampar juga kini lebih panjang, bersambung dari tengah ke tepi.
Lampu belakang masih lagi menggunakan jalur LED panjang yang bersambung dari kiri ke kanan tetapi di hujungnya anda boleh melihat terdapat bentuk segi tiga, sama seperti DRL hadapan. Kemasan bergaris yang bersambung dengannya masih lagi ada.
Tiada perincian lain yang didedahkan secara rasmi oleh Kia setakat ini tetapi menurut laporan Car Magazine, kereta elektrik (EV) ini akan menerima peningkatan pada penggerak serta baterinya supaya menjadi lebih kompetitif dalam pasaran.
Di negara kita, EV6 dilancarkan pada Jun 2022 lalu dalam satu varian sahaja, iaitu GT-Line AWD pada harga RM301k, menggunakan bateri lithium ion 77.4 kWh, motor elektrik 101 PS/255 Nm di hadapan dan satu lagi motor 224 PS/350 Nm di belakang.
Ia boleh memberikan jarak gerak sehingga 506 km (WLTP) dan boleh menerima input pengecas DC sehingga 350 kW apabila menggunakan sambungan CCS2 (10-80% dalam masa 18 minit). Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam 5.2 saat manakala laju maksimum pula adalah 183 km/j.
GALERI: Kia EV6 GT-Line pasaran Malaysia
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.