Kenderaan jenama China memegang 33% daripada jualan global kenderaan penumpang pada bulan Mac 2024, yang mana bersamaan dengan 8.15 juta unit. Perkara ini didedahkan melalui satu statistik yang dikeluarkan oleh China Passenger Car Association (CPCA), dan dilaporkan oleh CarNewsChina.
Dalam suku pertama tahun ini, 21.05 juta kenderaan terjual di seluruh dunia, menunjukkan peningkatan tiga peratus berbanding tempoh sama tahun lepas. Di dalam kalangan pengeluar China, Geely adalah satu-satunya pengeluar dari negara itu yang berjaya masuk ke dalam senarai 10 teratas, dengan jualan 738,400 buah kenderaan. Ini bersamaan dengan 3.5% daripada jualan keseluruhan global, dan meletakkan syarikat itu di tempat ke-10.
Melihat kepada statistik itu lagi, BYD berada hanya satu tempat di belakang Geely, dengan memegang 3.2% daripada jualan global, sementara Chery pula berada di tempat ke-12 dengan pegangan 3.0%. Melihat pula kepada pegangan jualan di dalam China sahaja, BYD berada di tempat pertama dengan 9%, manakala Geely memegang 2.0% dan Chery 3.0%.
Jenama China lain yang termasuk dalam senarai 20 teratas global adalah Changan, iaitu di tempat ke-15 dengan pegangan jualan 2.6% (8% di China) dan SAIC yang berada di tempat ke-16 dengan menyumbang 1.7% daripada jumlah jualan global (4% di China).
Melihat secara keseluruhan, jualan global paling banyak datang daripada Toyota, dengan pegangan sebanyak 10.6%, dan menjadikannya sebagai satu-satunya pengeluar yang mencatat lebih daripada 10%. Ia kemudiannya diikuti kumpulan Volkswagen (9.5%), Hyundai 7.4%, Stellantis 6.9%, Renault-Nissan-Mitsubishi 6.5% dan General Motors 5.4%.
Statistik yang dikeluarkan juga mendedahkan lima jenama China yang mengeksport paling banyak kenderaan pada suku pertama tahun 2024, iaitu SAIC (126,053 unit), Chery (117,719 unit), Great Wall Motor (77,935 unit), BYD (51,138 unit) dan Geely (46,752 unit).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.