Rapid KL telah memaklumkan semua stesen Monorel di antara Stesen Hang Tuah dan Medan Tunku tidak dapat beroperasi buat sementara waktu susulan insiden pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail berhampiran Hotel Concorde sebentar tadi.
Menurut Rapid KL, walau bagaimana pun pengguna masih boleh menggunakan perkhidmatan alternatif termasuk menggunakan perkhidmatan LRT dari/ke stesen KL Sentral, Hang Tuah, Dang Wangi dan Titiwangsa. Atau pun menaiki tren MRT dari/ke stesen Muzium Negara, Bukit Bintang dan juga Titiwangsa.
“Penumpang juga boleh menaiki bas perantara percuma di antara stesen KL Sentral ke stesen Medan Tuanku bernombor WVH 9625, WUW 4146 dan PJH 4872. Kekerapan bas adalah setiap 10 hingga 15 minit bergantung kepada keadaan trafik semasa. Sila dapatkan bantuan pegawai stesen atau polis bantuan jika perlu,” kata Rapid KL menerusi kenyataan yang disiarkan di dalam Facebook rasminya.
Kira-kira jam 2.30 petang tadi, pokok tumbang terbabit telah menghempap beberapa buah kenderaan di Jalan Sultan Ismail. Kejadian berkenaan dipercayai berlaku ketika hujan lebat sedang melanda sekitar ibu kota. Ekoran insiden tersebut, laluan kedua-dua hala di lokasi kejadian ditutup sementara. Buat masa ini, belum ada perincian penuh dari pihak berkuasa termasuk jumlah mangsa yang terlibat.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.