Shell dilapor kini sedang berbincang dengan syarikat petroleum dari Arab Saudi, Saudi Aramco bagi menjual semua rangkaian stesen minyak miliknya di Malaysia, lapor Reuters. Agensi berita berkenaan mendakwa perkara ini telah diberitahu sendiri oleh sumber yang rapat tentang isu tersebut.
Menurut salah satu sumber berkenaan, perbincangan tersebut dikatakan telah bermula pada lewat 2023, dan perjanjian itu mungkin akan dimuktamadkan dalam beberapa bulan akan datang. Dua sumber lain yang diberi taklimat mengenai perkara itu mendakwa bahawa urusniaga tersebut dianggar berjumlah sekitar empat hingga lima bilion ringgit.
Buat masa sekarang Shell mempunyai sekitar 950 stesen minyak di Malaysia bagi membolehkan ia menjadi rangkaian perniagaan bahan api kedua terbesar dalam negara selepas Petronas. Laporan Reuters itu turut menyatakan bahawa Shell dan Saudi Aramco enggan memberi sebarang komen tentang perkara ini, namun Shell ada menyebut bahawa Malaysia merupakan negara yang penting untuk syarikat tersebut.
Selain dari rangkaian stesen minyak, Shell turut menjual produk pelincir industri, menghasilkan minyak mentah dan gas asli di luar pantai Sabah dan Sarawak, serta mempunyai dua rakan kongsi dalam projek-projek gas asli cecair (LNG).
Laporan itu juga mengatakan bahawa penjualan itu adalah sebahagian daripada usaha CEO Shell Wael Sawan untuk memfokuskan operasi syarikat kepada perniagaan yang paling menguntungkan, dan nampaknya peruncitan bahan api bukan salah satu daripadanya.
Tidak diketahui sama ada rangkaian pengecasan kenderaan elektrik Shell Recharge DC dan AC serta ParkEasy -di mana Shell Malaysia mempunyai 50% kepentingan dalam perniagaan tersebut- adalah sebahagian daripada perjanjian pemerolehan yang berpotensi berkenaan.
Menurut laporan berita itu lagi, Shell telah menyatakan bahawa ia akan berusaha untuk melepaskan 500 stesen tahun ini dan berikutnya, serta kini sedang dalam proses menjual kilang penapisan dan petrokimia Singapura. Salah satu sumber memberitahu Reuters bahawa usaha syarikat itu untuk menjual rangkaian stesen minyaknya di Malaysia adalah konsisten dengan langkahnya untuk menjual kilang penapisannya di Pulau Bukom di Singapura, yang membekalkan bahan api kepada rangkaian itu.
Bagi Saudi Aramco, ia kini memiliki 50% daripada 300,000 tong minyak sehari menerusi fasiliti penapisan di Pengerang, Johor yang dioperasikan bersama Petronas, namun masih tiada sebarang perniagaan peruncitan di sini. Syarikat itu mempunyai rangkaian stesen minyaknya di Arab Saudi, yang baru diwujudkan pada 2019. Aramco turut mempunyai rangkaian stesen minyaknya di pasaran lain dengan kerjasama TotalEnergies dari Perancis dan S-Oil Corp dari Korea Selatan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.