Susulan insiden pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail berhampiran Hotel Concorde yang turut menghempap landasan Monorel petang semalam, Rapid KL telah bertindak segera dengan menggantung perkhidmatan Monorel antara KL Sentral dan Medan Tuanku, serta menyediakan beberapa bas perantara untuk stesen yang terbabit.
Menurut Rapid KL, mulai hari ini (8 Mac), empat stesen Monorel ditutup sehingga tempoh yang akan diumumkan. Stesen yang terbabit ialah Bukit Nanas, Raja Chulan, Bukit Bintang dan Imbi.
Ini bermakna tren dari KL Sentral akan tiba di stesen Hang Tuah sebelum kembali ke Platform 2, dengan kekerapan 24 minit. Manakala tren dari Titiwangsa akan kembali ke Medan Tuanku, dengan kekerapan sekitar 15 minit.
Selain itu, Rapid KL juga menyediakan 10 bas perantara yang akan beroperasi di laluan yang terlibat dengan penutupan stesen. Bas perantara tersebut tidak mengenakan sebarang kadar tambang dan akan bergerak dalam kekerapan sekitar 30 minit, bergantung pada keadaan trafik. Rapid KL juga menyarankan agar penggunanya menggunakan perkhidmatan awam lain termasuk LRT dan MRT.
Tambah Rapid KL, buat masa ini kerja-kerja pembersihan dan pemulihan sedang dilakukan dengan bantuan DBKL. Pasukan operasi dan jurutera struktur juga sedang membuat semakan terperinci untuk memastikan operasi penuh dapat disambung semula mengikut piawaian keselamatan yang ditetapkan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.