RHB Invesment Bank (RHB Investment) menjangkakan pemotongan subsidi bahan api yang bakal dibuat tidak lama lagi mungkin akan memberikan kesan kepada sektor automotif, khususnya jualan untuk model-model segmen pasaran pertengahan.
Dalam satu nota penyelidikan dari firma tersebut yang dilaporkan oleh DagangNews menyatakan bahawa, hal ini kerana kumpulan berpendapatan rendah masih dijangka menerima subsidi manakala golongan berpendapatan tinggi mungkin tidak begitu terkesan oleh penarikan subsidi.
“Sentimen keseluruhan terhadap sektor automotif masih hambar ketika ini disebabkan oleh ketidaktentuan yang timbul daripada langkah pemotongan subsidi bahan api,” kata badan penyelidikan tersebut.
Walaupun belum disebutkan dengan jelas bila subsidi bahan api ini akan ditarik, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli sebelum ini menegaskan bahawa langkah kerajaan untuk mengurangkan subsidi petrol tetap akan dilaksanakan tahun ini dalam usaha untuk mengecilkan defisit fiskal negara.
Walau bagaimanapun, RHB Invesment positif terhadap semakan gaji untuk penjawat awam, kerana kenaikan melebihi 13% yang diberi cukup untuk menarik para pengguna untuk membuat perbelanjaan besar.
“Biarpun begitu, tiada pindaan dibuat pada andaian perolehan kami buat masa ini, kerana sentimen keseluruhan terhadap sektor ini masih hambar disebabkan oleh ketidaktentuan yang timbul daripada langkah pewajaran subsidi,” tambah nota berkenaan.
Dalam perkembangan sama, RHB Investment menyatakan bahawa kadar kelulusan pinjaman untuk pembelian kenderaan YTD-2024 pula mencecah 58% berbanding 62-63% pada 2022-2023, sedangkan sedangkan pinjaman kasar buat pembelian kereta hanya menokok 2.7%, walaupun jualan kenderaan (TIV) menaik 5%.
Firma itu menjelaskan bahawa hal ini mungkin menunjukkan syarat kelayakan untuk pemberian pinjaman sudah diperketat, di samping pengguna mula beralih kepada kenderaan yang lebih berpatutan harganya.
“Diburukkan lagi oleh tekanan inflasi yang terus meninggi, jualan kereta dipercayai akan terus merudum pada suku-suku mendatang apabila jumlah jualan kereta kembali ke paras biasa selepas tempoh pecah rekod tahun lalu.
“Untuk 2Q24, kami selalunya meramalkan TIV semakin melemah QoQ susulan cuti perayaan Aidil Fitri dan penutupan sementara operasi kilang oleh syarikat pengeluar utama untuk tujuan penyenggaraan,” jelas RHB Investment dalam nota itu lagi dan menambah pihaknya yakin paras TIV sekarang tidak mampu dikekalkan berikutan kurangnya faktor pendorong untuk mencapai paras jualan baharu selepas memecah rekod jualan selama dua tahun.
“Maka, ramalan TIV dan wajaran sektor NEUTRAL kami dikekalkan untuk masa sekarang. Kami lebih menyukai saham saham automotif yang bernilai murah selain yang turut memaparkan pertumbuhan perolehan kukuh yang jelas.
“Bermaz AUTO dipilih sebagai Syarikat Utama kami kali ini,” kata badan itu lagi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.