Rapid rail Sdn Bhd (Rapid Rail) telah memaklumkan bahawa perkhidmatan KL Monorel kini telah kembali beroperasi sepenuhnya sejak jam 5 petang tadi.
“Kerja-kerja pembersihan dan baikpulih telah dijalankan oleh Rapid Rail dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan dan berjaya diselesaikan pada jam 5.55 pagi tadi.
“Pihak operasi dan jurutera struktur juga telah selesai menjalankan beberapa pemeriksaan menyeluruh dan terperinci mengikut piawaian keselamatan yang telah ditetapkan. Ini untuk memastikan struktur landasan stabil dan selamat untuk beroperasi,” kata Rapid Rail menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Rapid Rail turut berkata, serentak dengan pengoperasian semula laluan monorel, maka perkhidmatan tren alternatif dan bas perantara ditamatkan serta merta.
“Kekerapan tren kembali normal iaitu di waktu puncak selang 7 minit dan luar waktu puncak sekitar 10 minit,” katanya lagi.
Susulan insiden pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail berhampiran Hotel Concorde yang turut menghempap landasan Monorel petang semalam, Rapid Rail telah bertindak segera dengan menggantung perkhidmatan Monorel antara KL Sentral dan Medan Tuanku, serta menyediakan beberapa bas perantara untuk stesen yang terbabit.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.